Ahmad 'Adha 'Amir menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Bharu, hari ini. FOTO Zaman Huri Isa
Ahmad 'Adha 'Amir menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Bharu, hari ini. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Seorang Majistret Mahkamah Kota Bharu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hari ini selepas mendakwa seorang pengguna Facebook memuat naik status menghina dan memfitnahnya malam tadi.

Majistret Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri membuat laporan itu pada 12 tengah hari tadi ditemani Timbalan Pendakwa Raya Wong Siew Mun.

Ahmad 'Adha 'Amir ketika ditemui berkata, beliau menyedari status berkenaan dimuatnaik di laman sosial FB itu jam 7.45 pagi tadi menerusi aplikasi Whatsapp oleh rakannya.

Katanya, status yang dimuatnaik jam 11 malam tadi itu mempertikaikan hukuman yang dijatuhkannya terhadap seorang tertuduh wanita yang mengaku salah terhadap tuduhan mencuri dalam sebuah pasar raya semalam selain memfitnahnya menerima rasuah daripada pasar raya berkenaan.

"Status berkenaan menghina dan memfitnah untuk menjatuhkan imej saya, kerjaya dan kredibiliti serta integriti institusi kehakiman negara.

"Oleh itu, saya datang ke balai polis untuk membuat laporan supaya tindakan diambil terhadap penama itu supaya kejadian sama tidak berulang," katanya ketika ditemui di IPD Kota Bharu tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Harian Metro hari ini melaporkan, seorang wanita yang mengandung lapan bulan dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan mencuri di sebuah pasar raya.

Ahmad 'Adha' Amir menjatuhkan hukuman kepada tertuduh, Tuan Maziham Yasma Tuan Abdul Wahab, 39, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mencuri dua pasang selipar, enam pasang baju, sehelai T-shirt kanak-kanak dan tiga pasang sarung tangan bayi bernilai RM165di tingkat dua Pasaraya Tesco, di sini, jam 3.55 petang, pada 21 Mac 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 5:50 PM