KETULAN ganja yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
KETULAN ganja yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


DUA sindiket pengedaran dadah ganja yang beroperasi sejak beberapa bulan lalu tumpas dengan tertangkapnya empat individu dalam dua serbuan, Isnin dan Rabu lalu.

Serbuan yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak hasil risikan berjaya merampas ganja bernilai RM15,300.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, dalam serbuan pertama pada

9 malam di rumah tidak bernombor di Jalan Bako, Kuching suami isteri berusia 24 dan 26 tahun ditahan polis.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemui lapan paket lutsinar berisi daun kering berisi ganja disembunyikan di ruang papan pemuka kereta suspek.

"Siasatan lanjut kemudian mendedahkan suspek memperoleh dadah berkenaan daripada individu tertentu menggunakan perkhidmatan kurier.

"Polis kemudiannya menjalankan serbuan ke atas pusat kurier di bandar ini Rabu lalu dan menemui bungkusan berisi ganja mampat seberat 600 gram (g) yang dipesan suspek dari Semenanjung," katanya.

Dalam serbuan kedua, polis menahan penuntut universiti awam dan penganggur di syarikat kurier sama, 10 pagi, Rabu lalu.

Dalam serbuan itu, lelaki masing-masing berusia 20 dan 21 tahun itu ditahan bersama bungkusan daun mampat ganja seberat 476g yang baru diambil daripada syarikat kurier berkenaan.

"Suspek mengakui mendapat bekalan itu dari Semenanjung selepas membayar sejumlah wang menerusi transaksi bank kepada individu tertentu," katanya.

Sahar berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ganja di Kuching.

Katanya, semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Gambar ihsan polis

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 11:14 AM