GANJA dirampas daripada empat suspek termasuk seorang wanita. FOTO ihsan polis
GANJA dirampas daripada empat suspek termasuk seorang wanita. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pengedaran ganja susulan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan merampas dadah bernilai RM27,672, petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, sepasukan polis dari JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menahan suspek berusia 20 hingga 23 tahun pada jam 2.35 petang hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kereta Honda City dinaiki suspek, polis merampas dadah disyaki ganja seberat 5,022 gram dan wang tunai RM450.

"Pada 10 malam hari sama, polis pergi ke sebuah residensi di Jalan Sultan Ismail, di sini dan merampas dadah disyaki ganja seberat 6,047 gram.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek lelaki positif dadah jenis THC manakala, suspek wanita negatif dadah dan seorang suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, dua suspek ditahan reman bermula semalam hingga 23 Februari ini manakala, dua lagi suspek ditahan reman bermula semalam hingga 20 Februari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Katanya, hasil siasatan mendapati semua suspek bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 9:09 PM