Fisol (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas. FOTO Mohd Roji Kawi
Fisol (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sindiket pengedaran dadah dikenalpasti menggunakan khidmat syarikat penghantaran barang untuk membawa masuk ganja ke negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Fisol Salleh berkata, taktik sindiket berkenaan terbongkar dengan tertangkapnya tiga suspek dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Jalan Temple, di sini, semalam.

Beliau berkata, tiga suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 31 hingga 33 tahun ditahan dalam operasi sekitar jam 5 petang itu.

"Dalam operasi itu, polis menahan seorang lelaki di kaki lima sebuah restoran kerana dilihat membawa bungkusan yang mencurigakan dan hasil pemeriksaan mendapati bungkusan pertama mengandungi ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat kira-kira satu kilogram.

"Pemeriksaan pada bungkusan kedua pula mendapati ia juga mengandungi ganja seberat dua kilogram (kg)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Fisol berkata, susulan penemuan itu, suspek kemudian membawa pasukan operasi ke kediamannya dan menemui empat plastik lutsinar berisi ganja seberat kira-kira 42.4 gram serta menahan seorang wanita yang berada di rumah berkenaan.

"Hasil soal siasat ke atas suspek pertama kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki di sebuah rumah di Taman Pelita Jaya, Jalan Sultan Tengah dan polis menemui 1.1 kg lagi dadah jenis ganja," katanya.

Fisol berkata, siasatan awal mendapati semua ganja itu diperolehi daripada luar Sarawak dengan menggunakan khidmat kurier.

Katanya, beliau memohon supaya pengendali perkhidmatan kurier memberi kerjasama dengan memaklumkan kepada polis sekiranya mendapati ada bungkusan mencurigakan.

Semua suspek ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hasil saringan awal air kencing juga mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 5:53 PM