PEMAIN Kuantan FA, Abdul Malik Mat Ariff (tengah) mengasak penjaga gol Melaka, Mohd Syazwan Mamat (kiri).
PEMAIN Kuantan FA, Abdul Malik Mat Ariff (tengah) mengasak penjaga gol Melaka, Mohd Syazwan Mamat (kiri).
Asrol Awang


Kuantan: Melaka United mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Perdana apabila bangkit menewaskan Kuantan FA 4-3 di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Jaringan penyerang import Melaka United dari Romania, Alexandru Tudose pada minit akhir perlawanan memastikan pasukan itu membawa pulang tiga mata.

Pada perlawanan itu, Kuantan FA harus menyalahkan diri sendiri kerana tidak menunggu lama untuk mendahului pasukan pelawat menerusi pemain tengah, Shazalee Ramlee untuk menewaskan penjaga gol Syazwan Mamat seawal minit pertama.

Gol pendahuluan itu ternyata memberi suntikan semangat buat skuad kendalian Zulhamizan Zakaria untuk menambah jaringan terutama menerusi penyerang importnya Dao Bakary tetapi tidak berhasil pada minit kesembilan.

Ketinggalan 0-1, Melaka United berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil sentuhan penjaring terbanyak liga setakat ini, Ilija Spasojevic yang menewaskan penjaga gol tuan rumah Zairi Hafiezi Idris pada minit ke-27.

Tiga minit kemudian, The Seagulls kembali di depan hasil jaringan Bakary sebelum Tudose sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 selang lima minit kemudian.

Keputusan itu bagaimanapun tidak kekal apabila Shazalee menyumbat gol ketiga dan kedua peribadi buat Kuantan FA skembali menguasai perlawanan dan keputusan 3-2 kekal sebelum rehat babak pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, Melaka United tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 3-3 menerusi sentuhan Yashir Pinto pada minit ke-46.

Selepas itu, aksi berbalas serangan dilakukan kedua-dua pasukan tetapi kali ini jentera pertahanan masing-masing lebih bersedia untuk mengekang asakan.

Pada minit ke-89, Tudose memastikan Melaka meraih tiga mata sekali gus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga ketika pasukan tangga kedua Johor Darul Ta’zim II dikejutkan Perlis 0-1 di Kangar.

Dalam perlawanan lain, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membenam UiTM 3-1 di Temerloh, DRB Hicom mengatasi pasukan tangga keempat Kuala Lumpur 1-0 di Tanjung Malim, Sabah mengalahkan Sime Darby 2-1 di Selayang manakala PKNS seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan di Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 6:21 AM