SYAMIM (kiri) meraikan jaringan  bersama rakan sepasukan di Stadium Tun Abdul Razak, malam tadi.
SYAMIM (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan di Stadium Tun Abdul Razak, malam tadi.
Syah Rul Aswari Abdullah

Maran: FELDA United gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila seri 2-2 dengan Pulau Pinang pada saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini, malam tadi.

Belumpun seminit perlawanan bermula, pasukan tuan rumah hampir mencemaskan lawan apabila pemain import Francis Forkey Doe yang menyelinap melepasi pertahanan pelawat melakukan percubaan, namun bola tepat ke dakapan penjaga gol Pulau Pinang.

FELDA United yang mempamer aksi cukup cemerlang babak masa pertama tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh gol pembukaan apabila Ahmad Syamim Yahya menyudahkan hantaran lintang Lutfulla Turaev pada minit ke-8 bagi meletakkan tuan rumah di depan.

Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu hampir menjarakkan kedudukan pada minit ke-15, namun Tuarev gagal memanfaatkan sepakan percuma apabila percubaannya sekadar tersasar ke kiri gawang pelawat.

Selang seminit kemudian, The Fighters sekali lagi mencemaskan pelawat apabila gerakan solo Forkey Doe dari dalam kotak penalti tepat ke dakapan penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani.

Skuad Harimau Kumbang cuba mengatur gerakan berbahaya bagi menyamakan kedudukan namun percubaan pemain import Matias Cordoba pada minit ke-20 dapat ditampan keluar penjaga gol tuan rumah, Mohd Farizal Harun.

Pulau Pinang berjaya menyamakan kedudukan dua minit sebelum separuh masa pertama tamat apabila Reinaldo Lobo menyempurnakan sepakan penalti selepas

pertahanan The Fighters mengasari pemain import, Osas Marvellous Ikpefua.

Bersambung babak kedua, The Fighters yang mahu mengekalkan status sebagai pendahulu liga melakukan asakan demi asakan bagi mencipta jaringan namun rembatan Forkey Doe pada minit ke-59 sekadar terkena tiang.

Anak buah Manzoor Azwira Abd Wahid sekali lagi menghukum kealpaan benteng pertahanan tuan rumah apabila pemain import Ikpefua meletakkan Pulau Pinang di depan apabila mudah menolak masuk ke gawang The Fighters pada minit ke-65.

Bagaimanapun, Forkey Doe sekali lagi memanfaatkan keadaan kelam kabut di depan gawang pelawat yang kini berada di dasar liga untuk meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-80.

Kedudukan 2-2 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan FELDA United terlepas genggaman mereka sebagai pendahulu liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:07 AM