UKURAN kaki diambil sebelum memilih rekaan diinginkan.
UKURAN kaki diambil sebelum memilih rekaan diinginkan.
BAHAGIAN menggunting agak sukar dan memerlukan ketelitian.
BAHAGIAN menggunting agak sukar dan memerlukan ketelitian.
SETIAP keadah pembuatan kasut khas memerlukan kemahiran tinggi.
SETIAP keadah pembuatan kasut khas memerlukan kemahiran tinggi.
MAH menunjukkan kaedah pembuatan kasut bespoke.
MAH menunjukkan kaedah pembuatan kasut bespoke.
ANTARA rekaan kasut bespoke jenama berkenaan.
ANTARA rekaan kasut bespoke jenama berkenaan.
Hajahfarhana Tarmudi


Asalkan rekaan cantik dan menarik, akan diusahakan untuk membeli kasut yang berkenan di hati. Biarpun ada kalanya kasut yang dipilih itu tidak kena dengan bentuk kaki, sekali gus menyebabkan kurang selesa, hati tetap ingin membelinya.

Begitulah situasi yang berlaku kepada kebanyakan wanita apabila memilih kasut diinginkan hinggakan tanpa disedari kasut yang digayakan menyebabkan kaki menderita.

Namun, ada sesetengah wanita yang lebih selesa mengenakan kasut yang ditempah khas kerana mahu lebih selesa dan tampak eksklusif lantaran kesukaran mendapatkan kasut diinginkan mengikut saiz dan bentuk kaki.

Diberi peluang melihat sendiri dan menambah pengalaman di dalam membuat kasut tempahan, ternyata ia bukan satu proses yang mudah. Seiring aliran fesyen yang pesat, teknik penghasilan sepatu yang ditempah khas atau bespoke turut mendapat tempiasnya.

Rekaan kasut bespoke mula dikenali ramai dan menjadi popular disebabkan cirinya yang menonjol. Keinginan untuk tampil berbeza daripada gaya kasut yang terdapat di pasaran menjadikan sepatu bespoke menjadi pilihan.

Pengasas XALF, Xavier Mah berkata, pembuatan kasut berkenaan mesti menggunakan bahan mentah terbaik dari awal proses rekaan untuk menjaga kualitinya.

“Asas penting dalam rekaan sepatu ialah pada bahagian dasarnya, mengaplikasikan kepakaran teknikal dengan suntikan kreativiti perekanya.

“Kemudian, proses rundingan dan nasihat mengenai rekaan kasut sesuai bentuk kaki diadakan selepas mengukur saiz kaki bagi mengumpulkan idea bersama pelanggan untuk menghasilkan sepatu impian mereka.

“Biarpun kedengaran aneh, namun tujuan asal sebuah lakaran kasut impian ialah untuk membuat saringan terhadap idea serta imaginasi pereka kepada bentuk paling mudah,” katanya.

Pada masa sama, keaslian dan keindahan pembuatan sepatu ini akan diberi perhatian terutama dalam menterjemahkan rekaan berkonsep atau bercita rasa tinggi.

Teliti hingga akhir

Ujarnya, apabila tiba langkah pembuatan corak dan lakaran, templat kosong digunakan bagi memperoleh bentuk rekaan kasut sesuai saiz kaki untuk dilakar pada bahan yang dipilih sama ada kulit, suede, kulit berpaten atau kulit lembu.

Ketika ini, lakaran komponen lain seperti tapak tengah, luar dan dalam kasut dipotong untuk pemasangan. Proses pembuatan kasut tidak terhenti di situ, sebaliknya ia diteruskan kepada peringkat seterusnya.

Sebaik saja bahan dipilih, proses padanan akan dilakukan untuk memastikan material digunakan saling bersesuaian. Mungkin ada sesetengah pelanggan yang keliru antara kedua-dua proses berkenaan.

“Disebabkan itu, rundingan bersama pelanggan sangat penting. Antara aspek paling mencabar di dalam membuat kasut tempahan ialah ketika memotong bahan mentah.

“Bagi memastikan kualitinya setara, potongan corak halus membantu memelihara integriti bahan digunakan. Namun, potongan lakaran setiap bahagian sepatu berjaya apabila setiap komponen dipotong sempurna.

“Penggunaan gunting juga berbeza untuk memastikan tangan tidak sakit. Selepas itu, barulah proses jahitan untuk menggabungkan semua komponen kasut dijalankan,” katanya.

Kekemasan jahitan mampu menyerlahkan kualiti kasut yang dihasilkan. Ia memerlukan kemahiran dan ketelitian yang tinggi bagi mendapat kasut berkualiti dan kemas.

Selepas padanan stok dan pemasangan tapak dilakukan, sambungan tumit pula dilakukan. Walaupun tanpa rekaan keterlaluan, bahagian tumit adalah titik utama ciri kewanitaan si pemakai terserlah.

Kombinasi fizik dan ergonomik bahagian tumit ini lazimnya mencerminkan rekaan yang membantu menambah baik postur badan wanita, sekali gus menyerlahkan keanggunan yang dimiliki.

Kemasan terakhir di bahagian tepi kasut akan dirapikan, diperhalusi dan digilap sebagai sentuhan akhir pada rekaan kasut yang dihasilkan.

Elemen perincian akan ditambah mengikut permintaan pelanggan sama ada mahu kasut yang menyerlahkan gaya glamor, sederhana ataupun kasual.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 1:12 PM