PELANGGAN bukan saja boleh mengubah warna dan jenis kasut malah memilih material, fabrik, tapak dan perinciannya.
PELANGGAN bukan saja boleh mengubah warna dan jenis kasut malah memilih material, fabrik, tapak dan perinciannya.
MASALAH sukar mendapatkan kasut mengikut saiz kaki kini boleh diatasi dengan enjin rekaan kasut 3D diperkenalkan Christy.
MASALAH sukar mendapatkan kasut mengikut saiz kaki kini boleh diatasi dengan enjin rekaan kasut 3D diperkenalkan Christy.
SEBAHAGIAN kasut yang dihasilkan daripada enjin rekaan kasut 3D Christy Ng itu.
SEBAHAGIAN kasut yang dihasilkan daripada enjin rekaan kasut 3D Christy Ng itu.
CHRISTY hasilkan enjin rekaan kasut 3D di laman sesawangnya bagi memudahkan pelanggan hasilkan kasut yang diingini.
CHRISTY hasilkan enjin rekaan kasut 3D di laman sesawangnya bagi memudahkan pelanggan hasilkan kasut yang diingini.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Ada yang cantik di mata tapi tidak sesuai di kaki. Ada pula yang elok dipakai tapi rekaannya pula tidak melekat di hati.

Dikurniakan kaki kecil sememangnya menyukarkan penulis mencari padanan kasut yang benar-benar sesuai terutama membabitkan kasut tumit tinggi.

Untuk menempahnya pula memakan masa lama, rumit prosesnya dan menelan belanja tinggi, yang akhirnya kecewa sejurus kotak dibuka.

Penyelesaiannya, kasut tapak rata jenis pump atau ballerina jadi tumpuan kerana majoriti hadir dalam saiz kecil.

Namun kala berbual panjang dengan rakan lama ketika mengunjungi butik kasutnya di Jaya One, Petaling Jaya, baru-baru ini, menempah sepasang kasut idaman tidaklah rumit terutama dengan adanya teknologi enjin rekaan kasut yang boleh dilayari di Internet pada bila-bila masa.

Menerusi laman sesawang www.christyng.com, bukan satu, dua atau tiga pasang kasut yang boleh dihasilkan sendiri menerusi enjin rekaan 3D itu kerana tersedia lebih sejuta kombinasi padanan bagi menepati kehendak pembeli.

Pengasasnya merangkap pemilik butik itu, Christy Ng, menyifatkan enjin rekaan terbabit membolehkan pelanggan menghasilkan satu demi satu bahagian hinggalah berjaya mendapatkan hasil kasut yang diingini.

Pembayarannya pula menerusi e-dagang iaitu secara dalam talian dan kasut yang direka itu akan dihantar ke alamat pembeli antara tempoh satu ke dua minggu.

“Saya kini dalam proses menambah lagi beberapa warna, bentuk, material dan perincian yang bakal menyediakan lebih trilion kombinasi kasut pilihan.

“Kewujudan enjin rekaan kasut sendiri ini nyata memudahkan pelanggan mendapatkan kasut idaman mereka dan tidak perlu ke kedai berulang-kali semata-mata untuk menempah sepasang kasut,” katanya.

Dicetuskan daripada tempahan kasut oleh seorang pengantin dari Utara Carolina, Amerika Syarikat, dua tahun lalu, enjin rekaan Christy yang pertama diperkenalkan di Asia Tenggara ini direalisasikan hasil kemenangannya di Cabaran Inovasi PKS Bank Alliance 2013.

Dengan modal RM250,000, Christy dan pasukannya membangunkan enjin rekaan itu selama setahun sebelum diperkenalkan kepada pelanggan dalam talian.

Sebelum adanya enjin rekaan itu, Christy hanya menggunakan kertas lakaran dan menghasilkan rekaan mengikut idea yang diberikan pelanggan.

“Sering kali saya terpaksa membuat sekurang-kurangnya 10 rekaan untuk seorang pelanggan dan sediakan sampel material yang diperlukan. Tetapi akhirnya tidak jadi membeli kasut itu.

“Biasanya pelanggan tidak sanggup berulang-alik ke butik untuk mengubah atau memperbaiki rekaan yang diingini, jadi mereka hanya beri input menerusi telefon, e-mel juga kiriman teks.

“Kadangkala di kertas lakaran kita tak dapat lihat hasil yang benar-benar diinginkan. Jadi apabila produk siap dihasilkan, ramai yang kurang berpuas hati kerana tidak menepati apa yang mereka impikan.

“Ada pula yang mahu melihat hasil rekaan siap terlebih dulu sebelum ambil keputusan membayar kosnya kerana mereka mahu lihat visual kasut terbabit.

“Justeru dengan adanya enjin rekaan 3D ini, pelanggan dapat memlih dan melihat sendiri kasut yang mereka reka sebelum membuat bayaran.

“Ia bukan saja menjimatkan masa malah lebih mudah dan praktikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:02 AM