ANTARA beg dan kasut rekaan terkini untuk lelaki dan wanita.
ANTARA beg dan kasut rekaan terkini untuk lelaki dan wanita.
ANTARA beg dan kasut rekaan terkini untuk lelaki dan wanita.
ANTARA beg dan kasut rekaan terkini untuk lelaki dan wanita.
Nor Faizah Mohamed


Bebas dan selesa. Tidak sukar mendefinisikan trend yang diketengahkan Obermain bagi himpunan musim ini.

Jenama sepatu warisan dari Jerman itu membuka tirai musim baru dengan himpunan serba versatil.

Meskipun Obermain lazim dengan penggayaan kasut lelaki, musim ini memperlihatkan beberapa rekaan menarik untuk wanita.

Koleksi musim ini juga dipertingkatkan dari segi keselesaan pada tapaknya, selain kesan fleksibel yang dipadankan dengan kulit lembut pada bahagian luar.

Sementara tapak­nya direka bagi memaksimumkan fleksibiliti, ringan dan menyerap hentakan untuk mengurangkan tekanan.

Koleksi Blute I, Blute II, Jude II, Livana III dan Livana IV antara rekaan yang popular musim ini.

Blute I dan Blute II menyerlahkan gaya santai pada padanan sepatu baji flora dalam pilihan dua warna hitam dan putih.

Sepatu baji ini juga dibuat daripada bahan kulit ekstra lembut dengan bahan lapik dalaman serta tapak bahagian tengahnya daripada serat mikro, tumit gabus di samping tapak getah.

Rekaan baji sekali lagi ditonjolkan pada koleksi Jude II, namun dalam lagak lebih retro dan chic. Bercirikan bahan dan potongan yang sama seperti Jude I dalam musim lalu, sandal inspirasi daripada rentak hippie 1970-an ini praktikal dan selesa digayakan.

Jika sandal rata dan jenis sarung jadi pilihan, Livana III dan Livana IV pasti memukau. Direka bagi memberi keselesaan dalam apa jua keadaan, sandal ringkas ini memberi pilihan kepada wanita untuk digayakan sama ada bersama pe­ngikat di pergelangan kaki atau sebaliknya.

Untuk si jejaka, himpunan kasut eksklusif disediakan bagi memenuhi setiap keperluan.

Daripada padanan formal hingga kasual, sepatu Obermain tidak sekadar segak digayakan malah tahan lasak dan tiada ciri tipikal kasut sang jejaka.

Rainor, Clement, Andrew dan Cale antara sebahagian besar himpunan kasut yang direka khusus untuk kegunaan harian lelaki.

Semua koleksi ini boleh didapati di gedung teraju Obermain yang baru dilancarkan di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Gedung teraju Obermain yang berkonsep segar ini dilengkapi pelbagai produk menarik. Selain koleksi kasut terkini, ia turut mempamerkan koleksi tas tangan wanita dan aksesori kulit buat lelaki.

Menariknya, pelancaran gedung konsep baru itu juga menjadi titik lahirnya koleksi pakaian lelaki Obermain.

Koleksi pakaian ini diilhamkan oleh gaya maskulin malar segar dan kemeja formal serta kasual antara yang melatari himpunannya buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:02 AM