ANTARA menu popular di Restoren Matahari yang cukup enak.
ANTARA menu popular di Restoren Matahari yang cukup enak.
PELANGGAN beratur untuk mendapatkan juadah kambing golek.
PELANGGAN beratur untuk mendapatkan juadah kambing golek.
GULAI ketam yang menjadi antara menu utama di Restoren Matahari.
GULAI ketam yang menjadi antara menu utama di Restoren Matahari.
Mohd Azam Shah Yaacob


Tak tahu nak makan di mana dan makan apa untuk berbuka puasa. Usah risau, di restoran ini, anda mempunyai hampir 30 pilihan lauk pauk masakan Melayu yang dimasak secara tradisional.

Tak cukup dengan masakan tradisional, anda boleh memesan pula masakan Barat atau juadah masakan Thai. Itu keistimewaan berbuka puasa ditawarkan Restoren Matahari yang terletak di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, Kuala Lumpur ini.

Dengan pelbagai pilihan juadah yang disediakan secara bufet, pelanggan tidak saja akan tersandar kekenyangan sebaliknya akan mendapati harganya juga cukup berpatutan.

Mana tidaknya, bayaran yang dikenakan bagi hidangan bufet hanya RM29 untuk dewasa, RM14.50 untuk warga emas dan kanak-kanak berusia 4 hingga 10 tahun manakala percuma bagi yang bawah umur tiga tahun. Cukup murah bagi hidangan berkonsepkan bufet.

Pemiliknya, Umi Abdul Kadir berkata, setiap hari sepanjang Ramadan pihaknya menyediakan 25 hingga 30 jenis lauk pauk termasuk ulam-ulaman yang kebanyakannya berdasarkan resipi masakan Melayu Perak.

“Bagi juadah bufet ini, antara juadah istimewa kita adalah seperti patin masak tempoyak, rendang daging hitam, gulai daging cincang, sayur pucuk paku, masakan ayam kampung, daging kambing golek selain beberapa juadah makanan laut.

“Setiap hidangan ini kami sediakan dalam kuantiti untuk 200 orang makan berdasarkan kapasiti restoran,” katanya.

Atas faktor itu, Umi berkata, pihaknya mengalu-alukan pelanggan untuk membuat tempahan lebih awal bagi memastikan tempat mencukupi. Tak lengkap tanpa hidangan ringan, juadah bufet ini juga datang dengan pilihan pelbagai jenis kuih, mi kari, mi sup serta laksa.

Jika hidangan bufet ini tidak kena dengan selera anda, apa kata cuba pula menu masakan panas secara ala-carte.

Pelanggan mempunyai dua pilihan menu masakan iaitu sama ada masakan ala Thai atau masakan Barat.

Bagi setiap menu ala-carte ini, pelanggan dikenakan kadar bayaran harga berbeza dengan harga bufet.

Namun, sama seperti hidangan bufet, pelanggan pasti akan tersenyum puas berikutan setiap masakan ini tidak saja cukup kena pada lidah sesiapa saja, malah kadar harganya juga cukup berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:05 AM