SAJIAN bufet ditawarkan untuk pelanggan.
SAJIAN bufet ditawarkan untuk pelanggan.
Oleh Aniza Zainudin


Kehadiran sesekali sekawan burung enggang di birai Hornbill Restaurant & Cafe pasti mencipta memori indah buat pelanggan yang menjamu selera, terutama golongan kanak-kanak.

Terletak bersebelahan Taman Burung Kuala Lumpur di Taman Tasik Perdana menjadi bonus buat restoran ini untuk menawarkan kelainan kepada pengunjung.

Memanfaatkan keistimewaan itu, pengurusan Hornbill Restaurant & Cafe menyajikan menu bercirikan masyarakat Malaysia berbilang kaum.

Eksekutif Pemasaran dan Promosinya, Taufik Mohd Sharif mengakui menerima respons positif daripada pengunjung, baik tempatan mahupun asing.

“Sebelum ini, kita hanya menyediakan makanan secara ala carte. Menyedari permintaan tinggi dari­pada pelanggan, terbaru kita memperkenalkan sajian bufet pada waktu tengah hari pada harga RM27.90.

“Sajian ini disediakan seawal jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada hari bekerja.

“Ini dilihat bertepatan dalam matlamat kami untuk menyediakan khidmat buat pelanggan yang rata-rata kakitangan awam dan swasta di kawasan berdekatan.

“Setiap hari kami menawarkan lima hidangan utama merangkumi variasi sumber termasuk ayam, daging, makanan laut dan sayuran dengan gaya masakan tempatan,” katanya.

Meskipun bufet disediakan, pelanggan tetap boleh memesan makanan ala carte sebagai pilihan.

Hornbill Restaurant & Cafe yang mempunyai ruang untuk 150 orang pada satu-satu masa menawarkan menu pada harga berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:01 AM