MENU istimewa ala Timur Tengah dan tradisional menanti pengunjung.
MENU istimewa ala Timur Tengah dan tradisional menanti pengunjung.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

Bagi memikat selera dan memberikan kepuasan kepada pelanggan tidak kira agama menikmati juadah berbuka puasa, The Light Hotel (M) Sdn Bhd mengadakan bufet Ramadan buat julung kalinya bertemakan sajian makanan ala Timur Tengah dan tradisional.

Bufet Ramadan diadakan kali pertama selepas hotel berkenaan dibuka pada 26 Januari lalu dan aneka sajian dihidangkan di Spice Brasserie bermula 19 Jun hingga 15 Julai dari jam 7 hingga 10.30 malam.

Ia ditawarkan secara promosi 9+1 iaitu setiap pembayaran untuk sembilan dewasa, percuma satu orang. Kawasan Spice Brasserie dengan dekorasi ala Timur Tengah itu mampu memuatkan 300 orang pada satu masa dan ia turut merangkumi ruang terbuka serta berhawa dingin.

Eksekutif Chef Sous B Murugan berkata, mereka menyediakan lebih 100 hidangan dalam menu bufet dan dikendalikan 34 cef berpengalaman termasuk di bawah seliaan Chef Sous Mohd Nazrry Othman.

“Hidangan disediakan merangkumi tujuh set menu istimewa dan pencuci mulut yang ditukar dan dihidang­kan berlainan setiap hari seperti nasi beriani, nasi mandi, kebab ayam, rendang kepah, sotong masak kunyit, ayam vindaloo, kurma navratna, kebab campuran daging dan sebagainya.

“Selain itu, kami turut menyediakan makanan tradisional Melayu seperti sayur lemak pucuk paku dengan ubi keledek, pajeri terung, daging masak hitam, mi goreng, bihun sup, char kuetiau, rojak buah dan sebagainya untuk memenuhi selera masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” katanya yang mempunyai pengalaman 25 tahun dalam bidang masakan makanan Asia.

Beliau berkata, dengan mempelbagaikan menu yang menjadi kegemaran masyarakat Malaysia, pengunjung pasti teruja apabila melihat juadah yang disediakan umpama ‘syurga makanan’.

Sementara itu, Pengurus Jualan hotel berkenaan, Siti Fatimah Packeer Mohd berkata, pengunjung yang hadir untuk menikmati juadah berbuka puasa harus peka dan mengambil makanan mengikut keperluan, sekali gus mengelakkan pembaziran apabila makanan yang tidak habis dibuang begitu saja.

“Orang ramai yang hadir untuk berbuka puasa dihiburkan kumpulan Ghazal Parti Fajar yang mendendangkan lagu Timur Tengah dan Melayu tradisional. Malah, kami turut menyediakan seorang imam khas bagi pengunjung yang mahu menunaikan solat Tarawih.

“Selain bufet Ramadan, bufet sahur yang bermula jam 3 hingga 5 pagi turut disediakan. Selain itu, Bufet Eid Al-Fitr sempena Aidilfitri diadakan bermula 17 hingga 19 Julai dari jam 12 tengah hari hingga 2.30 petang yang menawarkan harga yang cukup berpatutan dan berbaloi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 5:02 AM