BUFET ala Brazil atau dikenali sebagai Bufet Churassco memberi pengalaman menikmati daging sebenar.  FOTO Ihsan Bife
BUFET ala Brazil atau dikenali sebagai Bufet Churassco memberi pengalaman menikmati daging sebenar. FOTO Ihsan Bife
Nurul Husna Mahmud

BAYAR seperti orang kebanyakan tetapi layanan kelas atasan. Itu gambaran layanan yang bakal diterima peminat stik apabila menikmati hidangan secara bufet di Bife Charcoal Steakhouse (Bife) di LINC KL, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Dasarnya bufet dikenali sebagai ‘jamuan berselerak,’ tetapi berbeza halnya dengan pengalaman pelanggan di restoran itu apabila didatangi pelayan membawa pelbagai bahagian daging mahupun sajian stik yang siap dipanggang terus ke meja.

Mereka hanya perlu menunjukkan cip butang berwarna hijau khas yang disediakan dan potongan daging menjadi pilihan akan terus disajikan sehingga puas.

Pemilik Bife Saiful Izhar Senawi berkata, pendekatan berani dan unik diketengahkan Bife seawal dengan konsep bufet berbanding ala carte yang biasa diamalkan di kebanyakan restoran stik ini diharap mampu memberi pengalaman berbeza buat peminat hidangan itu.

PEMANGGANG khas membantu penyediaan hidangan daging beraroma dan tidak terlalu ada rasa asap.  FOTO Ihsan Bife
PEMANGGANG khas membantu penyediaan hidangan daging beraroma dan tidak terlalu ada rasa asap. FOTO Ihsan Bife

“Kami membawa pendekatan yang berbeza menerusi restoran ini. Meskipun mereka membayar sajian ini secara bufet, kualiti sajian serta servis yang diterima tiada kurangnya dengan restoran yang menyajikan stik.

“Kualiti daging bukan sahaja halal malah pada kualiti premium. Bonusnya bagi penggemar daging ialah mereka boleh menikmati pelbagai bahagian daging atau menu yang berlainan dalam satu masa.

“Berlainan dengan pelanggan yang mengunjungi restoran stik yang biasa, biasanya mereka dihidangkan secara ala carte dan hanya dapat merasai satu jenis hidangan dipesan.

“Selain itu konsep penyajian kami tampilkan juga mudah dan menyeronokkan. Pelanggan akan menerima dua cip butang iaitu merah dan hijau.

“Selagi mereka mahu menikmati hidangan, boleh tunjuk kepada pelayan butang hijau. Begitu juga kalau ingin berhenti atau ‘berehat’ seketika, hanya perlu tunjukkan cip butang berwarna merah,” katanya.

MENU sampingan juga disediakan untuk memberi pelbagai pilihan kepada pelanggan. FOTO Supian Ahmad
MENU sampingan juga disediakan untuk memberi pelbagai pilihan kepada pelanggan. FOTO Supian Ahmad

Baru sahaja beroperasi tiga bulan lalu, Saiful berkata, restoran terbabit mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peminat hidangan stik tempatan.

“Maklum balas kami terima daripada pelanggan yang datang, mereka gembira ada konsep sebegini yang mana lebih banyak pilihan menu stik boleh dinikmati baik untuk makan tengah hari atau malam.

“Mengenai menu istimewa di Bife, semestinya stik batang pinang jadi pilihan dan bahagian paling berharga adalah ‘picanha’ merujuk kepada potongan daging turut dipanggil ‘top sirloin’ iaitu bahagian batang pinang paling premium,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 6:30 AM