AFP

Manchester: Legenda Manchester United Ryan Giggs (gambar) akhirnya akan meninggalkan kelab itu selepas 30 tahun menabur bakti.

Difahamkan keputusan Giggs itu mempunyai kaitan dengan pelantikan Jose Mourinho sebagai pengurus baru Red Devils.

Giggs yang berasal dari Wales dan kini berusia 42 tahun, menjadi sebahagian daripada pasukan hebat yang dibina Alex Ferguson dengan 963 penampilan - dikatakan berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai pengurus selepas menjadi penolong kepada David Moyes dan kemudian Louis van Gaal.

“Keputusan ini dibuat dengan hati yang berat. Saya akan membawa bersama memori indah selain pengalaman seumur hidup yang saya harap dapat membantu pada masa depan,” kata Giggs dalam kenyataan dikeluarkan kelab itu.

“Bagaimanapun, masanya sudah tiba untuk pergi. Walaupun saya tidak mempunyai rancangan untuk melangkah ke bidang pengurusan dalam tempoh terdekat, tapi di situlah saya mahu membabitkan diri.”

Giggs, pemenang 13 takhta liga dan dua trofi Liga Juara-Juara, menganggap keputusan untuk meninggalkan United itu sesuatu yang sangat besar.

“Selepas 29 musim di Manchester United sebagai pemain dan penolong pengurus, saya tahu kemenangan sentiasa ada dalam DNA kelab itu - memberikan peluang kepada pemain muda serta bermain corak menyerang dan bola sepak menarik.

“Itu sebabnya keputusan itu agak sukar bagi saya kerana kelab ini sudah menjadi darah daging sejak dari usia 14 tahun.”

Mourinho yang akan menggantikan van Gaal selepas pengurus berbangsa Belanda itu gagal melayakkan United untuk Liga Juara-Juara musim depan, dikatakan berminat mendapatkan pegawai sokongan sendiri yang bermakna Rui Faria akan menggantikan Giggs.

Giggs, yang mana Mourinho dilaporkan mengesyaki tidak setia serta menentang Moyes dan kemudian van Gaal secara diam-diam apabila nasib mereka merudum, ditawarkan tugasan lain, tetapi menolaknya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 4:01 AM