GIGIH menyiapkan tempahan pelanggan.
GIGIH menyiapkan tempahan pelanggan.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Bermula dengan mesin jahit yang dihadiahkan ibunya ketika berada pada tahun kedua di universiti, Noor Eizie Eizyanie Mohamad Safuan, 27, terus mengasah kemahiran dalam bidang jahitan dan sehingga kini mampu berbangga dengan hasilnya.

Tidak pernah mengenal erti penat, pemegang Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini terus gigih menggunakan segala kemahiran yang ada untuk mengembangkan jenama perniagaan dalam talian miliknya, Ezloveycraft.

Menjadikan laman Facebook/ ezloveycraft dan Instagram/ @ezloveycraft sebagai medan untuknya menjana pendapatan, ibu muda itu tekad berjaya dalam bidang perniagaan berasaskan barangan kraf dan barangan bayi diperbuat daripada kain.

Ikuti temu bual wartawan bersama wanita tabah ini untuk me­ngenalinya dengan lebih lanjut dan belajar daripada pengalamannya.

Soalan (S): Sejak bila anda mula aktif dalam perniagaan kraf?

Jawapan (J): Saya aktif dalam perniagaan kraf sekitar 2011. Kini saya dibantu suami (Mohd Yusof Abdul Aziz, 28) bagi bahagian pemasaran. Kami menjadikan perniagaan ini sebagai pendapatan sampingan dan syukur kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan.

S: Dari mana anda belajar membuat kraf?

J: Ibu saya seorang tukang jahit. Saya banyak belajar dengannya. Saya mula menghasilkan kraf ketika di tahun dua di universiti dan ibu kemudiannya menghadi­ahkan mesin jahit untuk memudahkan saya menjahit.

S: Adakah mudah untuk membuat kraf atau anda mengambil masa yang lama untuk belajar sesuatu kraf?

J: Jika kita mempunyai pengetahuan asas mengenai menjahit, kita pasti akan dapat menghasil­kan kraf dengan cepat. Selalunya saya akan menambah nilai pada rekaan asas. Saya tidak mengambil masa yang panjang untuk belajar sesuatu kraf kerana saya mempunyai kemahiran asas.

S: Apakah jenis kraf yang menjadi minat dan kepakaran anda?

J: Saya suka dengan benda yang nampak comel dan sesuai dijadikan hadiah. Jadi saya bermula dengan membuat rantai kunci menggunakan kain belacu. Kemudian saya kembangkan Ezloveycraft dengan mengambil tempahan bantal bercorak dan kini saya lebih banyak membuat barangan untuk bayi.

S: Apakah tempoh diperlukan untuk menyiapkan sesuatu kraf?

J: Ia bergantung kepada jumlah dan jenis tempahan. Selalunya tempahan mengikut selera unik pelanggan akan mengambil masa antara dua ke tiga hari untuk disiapkan.

Kebanyakan ilham yang saya dapat melalui pemerhatian dan kajian di Internet. Sebelum jual kepada pengguna, saya cuba menjahit terlebih dulu. Ia akan ambil masa sedikit, tetapi jika sudah mendapat kepercayaan dan yakin dengan produk itu, baru saya menjualnya.

S: Apakah jenis kraf yang menjadi fokus anda ketika ini?

J: Sekarang saya lebih fokus pada barangan kraf untuk bayi seperti barut dan beg. Saya melihat ibu bapa sekarang inginkan kelainan untuk anak mereka, tetapi kraf bayi yang ada di pasaran agak terhad.

Oleh itu, saya hasilkan kraf ikut keselesaan bayi contohnya seperti beg bayi, selimut dengan imej comel, bantal peluk dan tidur mengikut cita rasa pelanggan.

S: Mengapa menjadikan kraf sebagai perniagaan?

J: Saya memilihnya kerana saya amat meminati bidang kraf. Sambutan pelanggan pada mulanya kurang, tetapi selepas mereka mengenali kualiti yang dipersembahkan Ezlovelycraft, semakin lama sambutan semakin baik.

S:.Bagaimana anda membahagikan masa antara perniagaan dan keluarga?

J: Saya membuat kraf secara sambilan dan dibantu ahli keluarga. Selalunya saya menjahit pada waktu malam selepas menyiapkan semua kerja rumah. Setiap hari saya peruntukkan kira-kira lima jam untuk kerja menjahit dan membungkus tempahan pelanggan.

S: Apakah material yang digunakan dalam penghasilan kraf?

J: Saya lebih tumpukan peng­gunaan kain kapas bercorak diimport dari luar negara dan paling penting ia selesa dan selamat untuk digunakan oleh bayi.

S: Boleh kongsikan antara pengalaman pahit yang pernah dilalui.

J: Apabila saya menerima tempahan yang mahukan saya me­nyiapkan kraf dengan cepat, tetapi sebaik siap, pelanggan batalkan pesanan. Sejak itu, saya belajar untuk mengutamakan pelanggan yang benar-benar serius dan sudah membuat bayaran terlebih dulu. Saya memegang falsafah ‘gagal itu membawa kepada erti kesungguhan, kejayaan itu membawa kepada erti kesyukuran’.

S: Apa perancangan anda dalam tempoh lima tahun lagi?

J: Saya mahu kraf keluaran ini lebih dikenali ramai dan mempelbagaikan barangan kraf untuk bayi seperti pakaian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 4:42 AM