Biarpun tidak pernah mewakili Malaysia pada perlawanan kompetitif antarabangsa, Shaun Maloney menganggap negara kelahirannya itu sentiasa berada dekat di hati.

Bekas penyerang tengah Celtic serta Aston Villa dan kini menyarung jersi kelab Wigan dalam Liga Kejuaraan Inggeris lahir di Miri, Sarawak.

Ikuti wawancara pemain Scotland berusia 31 tahun itu mengenai pengalamannya membesar dalam dua negara berbeza serta harapan terhadap masa depan bola sepak Malaysia.

Soalan (S): Anda dilahirkan di Miri, Sarawak dan menghabiskan masa zaman kanak-kanak di sana sebelum berpindah ke Scotland. Bagaimana rasanya berada di Malaysia?

Jawapan (J): Bapa saya bekerja di sana ketika itu. Dia adalah seorang juruterbang helikopter dan mengajar orang lain menerbangkan helikopter dan saya berada di sana selama empat hingga lima tahun sebelum berpindah ke Scotland. Saya mempunyai banyak memori menarik di Malaysia.

S: Apa membuatkan anda tinggal hanya seketika di Malaysia?

J: Keluarga saya suka tinggal di sana, tetapi malangnya kontrak bapa tidak diperbaharui dan ditawarkan tempat kerja baru di Aberdeen. Disebabkan ibu saya berasal dari Scotland, dia mengambil tawaran itu dan dari situlah ia bermula.

S: Anda tidak pernah pulang ke Malaysia sejak itu?

J: Saya tidak mempunyai banyak masa. Jika anda beraksi untuk pasukan kebangsaan, musim anda tidak akan berakhir sehinggalah Jun dan apabila Julai tiba, saya perlu buat persiapan untuk kembali bagi pra musim.

S: Bolehkah anda bercakap sedikit bahasa tempatan?

J: Saya biasa bertutur Bahasa Malaysia! Ibu dan bapa saya memberitahu saya boleh bercakap dengan kanak-kanak lain, tetapi sekarang saya tidak ingat lagi.

S: Adakah anda melalui kesukaran menyesuaikan diri berpindah ke Scotland?

J: Saya rasa ia sukar buat kami. Kakak saya terpaksa berdepan dengan perubahan kerana kami sudah biasa dengan gaya hidup Malaysia. Ibu bapa saya tidak berdepan banyak masalah, tetapi mereka terdesak untuk kembali semula ke Malaysia. Bapa saya baru bertanyakan kepada saya bagaimana dia berminat dengan Malaysia selepas saya selesai menjalani temu ramah ini.

S: Apa anda paling rindukan mengenai Malaysia?

J: Cuaca. Jika dibandingkan dengan apa kami ada di sini, cuaca memang lebih menarik (ketawa). Saya jarang melihat matahari di England apatah lagi Scotland.

S: Anda membuat penampilan dengan skuad kebangsaan Scotland 10 tahun lalu tetapi sebelum itu, adakah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghubungi anda disebabkan kelayakan dimiliki?

J: Mereka tidak pernah menghubungi saya. Sebenarnya saya layak bermain untuk negara kelahiran. Bapa saya berketurunan Inggeris manakala nenek berasal dari Wales tetapi akhirnya FA Scotland mengambil inisiatif menghubungi saya.

S: Adakah anda ada memikirkan untuk mewakili Malaysia jika anda tidak bermain untuk Scotland?

J: Jelas sekali amat pelik bila saya tidak mewakili negara kelahiran sendiri di peringkat antarabangsa. Tetapi saya membesar dan bersekolah di Scotland, dan ia sentiasa menjadi sasaran saya mewakili negara ini.

S: Adakah anda dapat rasakan seperti orang Malaysia?

J: Saya sentiasa berasa seperti itu dan merasakan ada kaitan dengan Malaysia. Tidak kira di mana anda berakhir, anda akan sentiasa ada hubung kait dengan negara kelahiran anda. Sekalipun saya seorang Scotland, beraksi untuk Scotland, Malaysia akan sentiasa menjadi sebahagian daripada saya.

S: FAM melancarkan program 'panggil semula' pemain bola sepak yang mempunyai warisan darah seperti darah kacukan Sweden, Junior Eldstal dan pemain kelahiran Australia, Brendan Gan untuk bermain dalam Liga Malaysia dan mewakili negara. Apa pendapat anda?

J: Saya rasa ia hebat. Saya tidak mengenali mereka, tetapi mereka boleh membantu meningkatkan bola sepak Malaysia dengan latar bola sepak berbeza, berkongsi pengetahuan dengan pemain muda dan membantu mereka menjadi pemain matang.

S: Adakah anda merancang menamatkan karier di Malaysia, barangkali menyarung jersi negeri kelahiran, Sarawak?

J: Saya tidak pernah memikirkannya, tetapi ia kedengaran hebat. Saya rasa ia akan menjadi pengalaman menarik tinggal dan bermain di Malaysia. Apapun, saya masih ada kontrak bersama Wigan, kita lihat bagaimana nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:01 AM