SOALAN (S): Adakah benar khabar angin menyatakan anda akan bersara musim depan?

JAWAPAN (J): Saya tidak akan bersara musim depan. Saya akan bermain lagi selepas musim ini. Kita perlu tunggu dan lihat sama ada saya akan bermain di Liverpool atau pasukan lain. Itu keputusan Liverpool.

S: Sewaktu Liverpool menduduki tangga kedua pada 2002 dan 2009, pemain utama meninggalkan kelab dan kelab perlukan masa untuk bangkit. Tidakkah Liverpool mengambil pengajaran daripada perkara ini pada 2014?

J: Sewaktu Luis Suarez meninggalkan kelab ini, saya sedar perkara ini akan berlaku. Apabila anda hampir meraih kejuaraan, penting untuk mengikat pemain utama anda. Ia bukan saja membabitkan pemain yang baru masuk, tetapi juga pemain sedia ada.

Mereka (Fenway Sports Group) memberitahu akan membawa pemain muda berbakat ke kelab ini, tetapi perubahan tidak akan berlaku dalam masa semalaman.

S: Permulaan Liverpool tidak begitu meyakinkan musim ini. Bolehkah anda jelaskan apa yang berlaku?

J: Saya tidak mahu mencari alasan, tetapi ada banyak sebab mengapa permulaan kami kurang meyakinkan musim ini. Kami kehilangan pemain utama, pemain utama yang tinggal cedera, kami ketinggalan biarpun hampir menjuarai liga musim lalu. Pasukan lain semakin meningkat. Chelsea menemui sentuhan yang hilang dan semakin kuat disebabkan sokongan kewangan. Itu sebabnya tidak mudah untuk kami berada di puncak liga.

Kami bukannya seperti City atau Chelsea apabila pengurus sedar adanya kekurangan dan terus saja membeli dua pemain.

S: Adakah pemergian Suarez dan kecederaan Daniel Sturridge meninggalkan kesan mendalam terhadap kelab?

J: Jika Luis ada di sini, kami mungkin boleh menebus kesilapan dalam beberapa perlawanan dengan kemenangan. Begitu juga jika Daniel cukup cergas. Jika anda kehilangan pemain dengan prestasi seperti Luis dan potensi seperti Daniel, anda pastinya terumbang ambing sehinggalah anda mendapat Sturridge kembali atau pengganti Luis yang mampu meledak gol.

S: Rakan anda, Jamie Carragher berkata pemain baru kelab, Mario Balotelli tidak akan bertahan lebih daripada semusim di Merseyside. Adakah anda bersetuju dengan pandangan itu?

J: Terlalu awal untuk berkata seperti itu. Dia sepatutnya menjaringkan 10 gol dalam 10 perlawanan. Kemudian apa, anda mahu menjualnya pada Januari?

Saya memahami pandangan Jamie. Dia berada di televisten dan perlu memberi pandangannya. Mario menjaringkan dua gol dalam 12 perlawanan dan bila anda bermain untuk Liverpool, anda perlu bersedia dibandingkan dengan Luis dan Daniel.

Dia perlukan masa untuk menjaringkan gol dan membuktikan berhak berada di sini. Saya tidak mahu menghakiminya selepas 10 perlawanan. Saya perlu membantu dan menyokongnya. Kedatangannya selepas Suarez sesuatu yang amat sukar. Harapan terhadapnya terlalu tinggi.

S: Justeru apakah yang perlu dilakukan untuk menjadi penyerang utama di Liverpool?

J: Untuk menjadi penyerang utama di Liverpool, anda perlu berdepan tekanan, tanggungjawab dan menerimanya dengan baik. Peminat kami mengharapkan kami menang setiap perlawanan.

Untuk menjadi penyerang terbaik, anda perlu pantas dan agresif, tetapi paling penting, anda perlu kerap menjaringkan gol. Lihat kepada pemain pernah bergandingan dengan saya iaitu Fowler, Owen, Suarez dan Torres, mereka semua konsisten menjaringkan gol. Itulah yang menjadikan mereka bintang.

S: Adakah Balotelli dalam hal ini memerlukan simpati?

J: Saya tidak fikir anda perlu simpati terhadap Mario. Dia sudah besar. Dia bermain untuk kelab besar dan sudah memikul tanggungjawab sebelum ini. Dia tidak perlu rasa bersalah. Dia bekerja keras.

Saya kagum dengan usahanya. Anda boleh memahami tumpuan yang diberikan terhadapnya dan dia menyukainya.

S: Setiap kali anda bermain, penyokong anda pasti mengingatkan kesilapan anda tahun lalu. Kesilapan ketika menentang Chelsea diraikan melangkaui Stamford Bridge. Apa perasaan anda?

J: Adakah saya mendengarnya. Sudah tentu saya mendengarnya. Adakah ia memberi kesan terhadap saya? Tidak, ia memberi semangat kepada saya untuk melakukan lebih baik daripada itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:05 AM