Pada usia 21, peningkatan prestasi dipamer Paul Pogba menarik minat ramai pihak pada peringkat antarabangsa apabila pemain muda itu menyertai pasukan senior selepas membantu Perancis menjulang Piala Dunia B-20 pada 2013.

Dia kemudian menyerlah sewaktu beraksi bersama Perancis pada Piala Dunia 2014 di Brazil yang melayakkannya menerima Anugerah Pemain Muda Terbaik Hyundai.

Sewaktu mengambil piala itu dalam satu majlis diadakan di Paris, baru-baru ini, Pogba sempat ditemuramah FIFA.com mengenai cita-citanya, perkembangan karier dan rasa bangga mewakili negaranya, Perancis.

Soalan (S): Sejak beberapa tahun kebelakangan, hampir setiap orang berasa yakin anda akan menikmati karier yang hebat. Adakah anda melihat piala ini sebagai bukti anda berada di landasan yang tepat?

Jawapan (J): Ini laluan perlu saya ikuti dalam apa cara. Segala-galanya dalam bola sepak adalah mengenai konsisten. Anda boleh mencapai tahap kemuncak dalam masa singkat dan turun serta-merta dalam dalam tempoh sama.

Hadiah ini adalah perkara terbaik untuk dimiliki tetapi saya perlu sentiasa meningkat dan beraksi dengan baik pada setiap perlawanan. Saya akan terus bekerja keras dan sasaran saya adalah menjadi pemain terbaik dunia.

S: Anda sudah menyertai beberapa pemain dipilih untuk memenangi hadiah ini termasuk Michael Owen, Thomas Muller, Enzo Scifo, Pele dan Franz Beckenbauer. Apakah maknanya kepada anda apabila melihat nama sendiri berada dalam senarai pemain berbakat seperti mereka?

J: Bukan, saya tidak mahu berada dalam kelompok sama seperti mereka tetapi saya mahu menjadi lebih baik daripada mereka. Itu adalah salah satu sasaran dan memenangi hadiah ini akan membolehkan saya mengorak langkah lebih jauh. Seperti saya katakan, semua ini baru permulaan dan saya merasakan halangan terbesar untuk maju lebih jauh adalah diri sendiri.

S: Siapa pemain sekarang anda lihat lebih baik dari anda berada dalam posisi yang sama?

J: Saya rasa ramai pemain lebih baik berbanding saya tetapi saya tidak perlu bimbang dengan perbandingan seperti ini. Saya cuba melakukan tugas sebaik mungkin. Terdapat ramai pemain tengah yang saya minati dan melihat mereka beraksi membantu saya meningkat. Pemain diminati sudah tentu Yaya Toure yang memiliki saiz dan fizikal seperti saya tetapi lebih berpengalaman.

S: Adakah anda sesekali anda mahu menekan butang berhenti seketika dan menikmati karier anda?

J: Tidak, ia sebaliknya. Saya mampu menikmati dengan memenangi piala seperti ini dan meraih gelaran. Itulah diri saya. Saya sentiasa mahu lebih banyak. Ia tidak pernah mencukupi kerana anda perlu meneruskannya. Saya seorang pemenang dan tidak suka kekalahan. Saya sentiasa meletak sasaran dan cabaran baru.

S: Apa beza Paul Pogba hari ini dan Paul Pogba sebelum Piala Dunia?

J: Perbezaan dulu dan sekarang? Paul Pogba sekarang lebih matang. Kekalahan kepada Jerman membuatkan saya lebih bersemangat untuk memenangi Piala Dunia bersama pasukan negara saya, Perancis. Saya rasa lebih dewasa sekarang dengan sasaran dan cita-cita baru.

S: Anda bermain dalam posisi yang memikul banyak tanggungjawab dan ramai mengharapkan anda me­nyerlah bersama kelab dan negara. Apakah pada usia 21 mempengaruhi cara permainan anda?

J: Untuk menjadi pemain terbaik, anda memerlukan tekanan. Buat masa ini, pemain seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sentiasa berada dalam tekanan. Ada masanya mereka tidak kelihatan gembira sekalipun menjaringkan gol. Sikap seperti itu meningkatkan permainan dan cita-cita anda.

S: Pasukan Perancis masih mempunyai ruang untuk meningkat. Mampukah ia mencapai tahap kemuncak menghadapi EURO 2016 dan menjuarai kejohanan itu?

J: Saya berharap kami akan berada pada tahap terbaik dalam tempoh dua tahun akan datang. Buat masa ini, kami memiliki dinamik yang baik. Kami mempamer peningkatan dan meneruskannya. Buat masa ini, kami mampu mendapatkan semula keyakinan penyokong Perancis.

S: Apakah detik penting dalam pembangunan pemain membentuk diri anda sekarang?

J: Setiap perubahan terhadap kelab sangat penting: Pertama kali adalah Le Havre kemudian Manchester United dan Juventus. Saya banyak mempelajari bola sepak berkualiti tinggi dan berkongsi bilik persalinan bersama ramai pemain hebat yang membentuk diri saya. Keadaan itu memberikan saya peluang menjadi salah seorang pemain terhebat.

S: Apakah kualiti dan kegagalan membawa anda ke tahap bermain sekarang?

J: Sudah tentu saya tahu kegagalan saya. Ada masa saya mengambil risiko tidak sepatutnya. Saya perlu juga menguruskan permainan sepanjang 90 minit. Tidak semestinya bermain unik mengikut gerak hati. Perkara begitu sering menjadi perhatian saya kerana apabila berada di bahagian tengah, anda boleh mengubah rentak perlawanan.

S: Bekas jurulatih Juventus, Antonio Conte dan bos Perancis sekarang, Didier Deschamps kedua-duanya bermain di bahagian tengah untuk Juve seperti anda. Adakah anda menikmati hubungan baik bersama mereka dan apakah mereka ada meminta sesuatu daripada anda?

J: Sudah tentu. Saya meningkat dengan panduan mereka. Didier Deschamps mengenali saya dengan baik dan tahu bagaimana mengendali saya. Dia membantu saya meningkat setiap hari sama ada sesi latihan atau perlawanan. Mereka sentiasa memberi dorongan dan mahukan saya kekal fokus dan menjadikan keadaan lebih mudah. Paling penting, mereka senyum kepada saya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:01 AM