SIMFONI bersatu sejak di bangku sekolah (dari kiri), Hazran, Anas, Imtiaz, Ifham dan Firdaus.
SIMFONI bersatu sejak di bangku sekolah (dari kiri), Hazran, Anas, Imtiaz, Ifham dan Firdaus.
Nor Akmar Samudin


Walaupun dua anggotanya kini melanjutkan pengajian di Universiti Madinah, Arab Saudi, tetapi ia bukan masalah buat kumpulan nasyid, Simfoni meneruskan aktiviti seni mereka di sini.

Kumpulan yang dianggotai lima sahabat sejak di bangku sekolah ini dianggotai Muhammad Hazran Muhammad, 24; Ahmad Ifham Solhi Tagor, 28; Imtiaz Ikrimal Rosslee, 24; Mohamad Anas Mohamad Naem, 24; dan Mohd Firdaus Naim Desa, 23.

Ketika ini Anas dan Firdaus berada di Madinah manakala tiga lagi anggotanya di tanah air.

Bagaimanapun, Ramadan tahun ini mempertemukan mereka berlima selepas lebih setahun tidak dapat berkumpul apabila Anas dan Firdaus balik bercuti untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri di sini.

Sehubungan itu, setiap detik yang ada mereka memanfaatkan sepenuhnya dengan memenuhi pelbagai undangan persembahan dan jemputan berbuka puasa.

Kerinduan mereka berlima juga terubat apabila Anas, Firdaus, Hazran, Ifham dan Imtiaz menggunakan kesempatan yang ada mengaji al-Quran, mengkaji kitab dan bersolat Tarawih bersama-sama.

Menurut Anas, Imtiaz yang bekerja dengan kumpulan nasyid UNIC ialah individu yang bertanggungjawab mengatur dan merencanakan jadual Simfoni.

“Album kami sebelum ini diterbitkan oleh UNIC yang mana mereka juga adalah mentor kami. Semua lagu dalam album itu dicipta Imtiaz.

“Dunia perhubungan yang kian canggih tidak membuatkan saya dan Firdaus terasa jauh daripada Hazran, Imtiaz dan Ifham kerana kami boleh berhubung menerusi pelbagai aplikasi yang ada,” katanya.

Simfoni baru tampil dengan single terbaru berjudul Ana Muslim dan lagu itu terus bertahan di carta radio Ikim FM sehingga hari ini.

“Ana Muslim menjadi juara carta dua minggu berturut-turut dan kemudian berada di tangga kedua serta terus kekal dalam carta hingga sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, mereka berlima menyedari perlu melakukan perubahan terhadap penciptaan lagu dengan mendapatkan sentuhan daripada komposer lain.

Justeru, untuk single seterusnya yang akan dirakamkan pada penghujung tahun ini, mereka bercadang untuk bekerjasama dengan penggiat seni di luar sana.

“Imtiaz akan kekal menghasilkan muzik tetapi lirik diberikan kepada orang lain kerana kami mahukan lirik yang lebih puitis dan memberi makna mendalam kepada pendengar, “ katanya.

Selain itu, Simfoni juga berhasrat untuk menghasilkan klip video akustik yang dibuat secara santai bergabung dengan penyanyi dan kumpulan nasyid lain.

“Untuk percubaan pertama kami akan menjemput Azman daripada kumpulan Far East,” katanya.

Kepada mereka yang mahu mendengar alunan suara Simfoni, pada Ramadan ini setiap Isnin, Rabu dan Sabtu mereka mengadakan persembahan di Cempaka Apartment Hotel, Cheras.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 9:06 AM