AL MANNA dianggotai Firdaus (kiri), Shah, Fahimi dan Mior.
AL MANNA dianggotai Firdaus (kiri), Shah, Fahimi dan Mior.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Gabungan empat rakan karib dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat, Kuala Lumpur menyaksikan penubuhan kumpulan nasyid Al Manna pada 1997.

Bagaimanapun Al Manna yang kini dianggotai Fahimi Indra Pramanta Didi Indra Tjahya, 23, Muhammad Firdaus Arshad, 24, Mohd Shahnizman Mohd Sa’ad, 22, dan Mior Muhammad Ariff Mior Mokhtar, 20, adalah generasi keenam kumpulan ini.

Membawa maksud manisan, penyatuan mereka bermula pada 2010 dan seringkali terbabit mengadakan sesi motivasi di sekolah.

Pada 2013, mereka sepakat menjenamakan semula Al Manna dengan berkecimpung secara serius dalam industri muzik nasyid tanah air di bawah syarikat Al Manna Solutions.

Lantas, mereka mendapatkan khidmat Bazli UNIC sebagai penerbit album sulung berjudul Selawat Kita Semua yang siap pada 21 Mei tahun lalu.

“Al Manna membawa pengertian sifat dakwah yang lembut dan manis. Selain buat motivasi dan khidmat perundingan, kami turut menjalankan aktiviti perniagaan pakaian Muslim seperti jubah, ridak dan shawl.

“Ketika menganjurkan sesi motivasi, kami turut membuat persembahan. Ketika ini terdetik impian untuk menghasilkan single sendiri dan Bazli jadi pilihan kerana pengalamannya yang luas dalam muzik nasyid,” kata Firdaus.

Menurutnya lagi, mereka asalnya hanya bercadang menghasilkan single berjudul Selawat Kita Semua, tetapi Bazli mencadangkan mereka meneruskan rakaman empat lagi lagu yang diterbitkannya.

Firdaus berkata, rakaman bermula pada 2013 dan siap sepenuhnya pada 21 Mei tahun lalu. Lagu terbabit ialah Qasidah Subhanallah (menampilkan Bazli UNIC), Selawat Kita Semua, Sahabat, Zikir Pagi Hari (acapella), Cinta Sayang Allah dan Selawat Kita Semua (instrumental).

“Lagu dalam album ini mendapat perhatian peminat terutamanya lagu Sahabat yang sudah tujuh minggu berada dalam Carta Nasyid IKIM.fm,” katanya.

Al Manna kini menghasilkan single terbaru berjudul Ajarkan Aku Setia yang menggandingkan mereka dengan pendakwah popular, Ustaz Elyas Ismail.

Ia ciptaan Bazli dan lirik oleh Atie. Klip videonya diarahkan Azam Rashid daripada Juxtapose dan ia kemungkinan dijadikan lagu latar sebuah filem.

“Kami juga mula mencipta lagu yang bakal menjadi identiti Al Manna. Mula-mula kami tak nampak dan tak yakin dengan kebolehan sendiri.

“Lagipun, Shah dan Mior boleh bermain gitar dan saya boleh bermain alat perkusi. Kelebihan ini boleh digunakan untuk mencipta lagu sendiri selepas ini. Kami selesa dengan irama nasyid kontemporari dan akan tampil dengan album kedua tahun depan,” katanya.

Menyasarkan untuk terbabit sekitar 30 peratus dalam album kedua, Al Manna masih mengekalkan kerjasama dengan Bazli.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:01 AM