Baby Shima
Baby Shima
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Baby Shima, 26, melahirkan perasaan hairan apabila dirinya tergolong antara artis yang sering menjadi 'mangsa' netizen dalam media sosial.

Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli berkata, dia sering menjadi perhatian ramai dan apa sahaja perbuatannya dilihat tidak manis dan seterusnya dikecam bertubi-tubi tanpa belas kasihan.

"Saya sering jadi sasaran mereka baik ketika membuat persembahan atau berkongsi apa-apa status bersifat pandangan peribadi.

"Bagaimanapun saya seorang yang berjiwa kental dan dari dulu lagi saya tak pernah 'down' pun kalau orang kecam dengan begitu teruk.

"Malah saya anggap orang yang suka mengecam ini adalah orang yang kurang kasih sayang dan sebenarnya perlukan perhatian.

"Mungkin juga mereka ini penganggur atau tak ada kerja untuk dilakukan. Itulah sebabnya kerja dia mencari salah orang lain untuk dikecam. Dia tiada kehidupan. Kasihan pula saya rasa dengan orang seperti ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, orang sebegini menjadi seronok dan ketagih dengan perbuatannya dan sanggup mengecam orang di sana sini demi mendapat perhatian.

"Bila dah dapat perhatian, dia buat lagi dan lagi kerana obses untuk terus jadi perhatian. Bagi saya, apabila seseorang itu 'lapar' perhatian, jadi dia sanggup saja kutuk dan hina orang lain demi meraih tumpuan.

"Dia paling suka apabila ada pula netizen-netizen lain menyokong. Mereka seakan senada dan masa itu dia rasa hebatlah sangat.

"Saya pun pelik, apa kepuasan yang dia dapat apabila mengecam dan memalukan orang lain. Bagi dia itu satu kemenangan kah? Tak takutkah dengan dosa," katanya.

Bertitik tolak dari isu terbabit, Shima kini tampil dengan single Kena Kecam Pun Tak Kisah, kolaborasinya bersama Ifa Raziah dan Datuk Norman KRU.

"Lagu Kena Kecam Pun Tak Kisah ini mengisahkan mengenai keadaan sekarang, ramai yang suka mengecam bukan sahaja kepada artis, malah bergaduh sesama sendiri dalam media sosial.

"Bukankah sepatutnya kita menggunakan media sosial untuk merapatkan silaturrahim sesama kita? Janganlah salahguna hingga setiap hari kita tengok ada saja kecaman.

"Apabila ada yang mengecam, maka timbullah pergaduhan dan 'perang' mulut. Maka ia turut mengajak orang lain untuk mengecam sama," jelasnya.

Shima bagaimanapun menafikan memulangkan paku buah keras dengan cuba menyindir netizen menerusi lagu ini.

"Bukan sindir, tapi ini lah diri saya. Tak semua netizen suka mengecam, ramai saja yang suka berkongsi kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.

"Menerusi lagu Kena Kecam Pun Tak Kisah ini, saya hanya nak beritahu pada mereka yang suka kecam orang itu, kecamlah saya sepuas-puasnya, sebab saya tak kisah pun.

"Tapi  kalau dah sampai tahap memfitnah atau dah melampau sangat, saya pun tak boleh berdiam diri juga. Sudah tentu saya akan ambil tindakan," katanya.

Dia berlapang dada dengan kecaman tetapi tidak boleh bertolak ansur dengan fitnah kerana boleh membuatkan ramai orang bergaduh.

"Ini sangat bahaya. Saya tahu takkan ada orang yang sempurna dalam dunia ini. Tapi agak-agaklah kalau nak mengata orang pun, janganlah sampai memfitnah," katanya.

Muzik video Kene Kecam Pun Tak Kisah kini boleh ditonton di saluran YouTube KRU.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 4:40 PM