SAM di depan lebih 4,000 Bunkers yang terhibur malam itu.
SAM di depan lebih 4,000 Bunkers yang terhibur malam itu.
YOUK (kiri) dan Paan cukup bertenaga dalam mengawal 'instrument' masing-masing.
YOUK (kiri) dan Paan cukup bertenaga dalam mengawal 'instrument' masing-masing.
BUNKFACE dalam kelas tersendiri.
BUNKFACE dalam kelas tersendiri.


Saya pernah bersikap skeptikal terhadap band ini. Ketika mereka muncul dengan single Situasi pada 2007, saya beranggapan mereka hanya sebuah lagi band rock ‘one hit wonder’.

Sikap ‘buruk’ itu makin ketara, lebih-lebih lagi apabila melihat ia diterajui jejaka berwajah kacukan Melayu - Inggeris yang pastinya lebih membuatkan awek-awek tertarik dengan paras rupa berbanding muzik dimainkan.

Namun, saya sebenarnya salah. Bunkface yang dianggotai Sam (penyanyi, gitar), Paan (gitar) dan Youk (bass) bukanlah seperti yang saya sangkakan. Mereka adalah anak muda berbakat besar dan ada jiwa dalam muzik yang mereka bawakan.

Bersama genre punk rock, Bunkface yang diasaskan di Klang, Selangor pada 2005 berjaya meletakkan nama mereka sebaris dengan band rock terkenal tempatan. Pengaruh daripada band Barat seperti Green Day dan Blink 182 mungkin nampak ketara, tapi dengan jiwa dan ‘feel’ yang ada dalam muzik mereka, Bunkface berjaya bergerak atas landasan sepatutnya.

Ini dibuktikan dalam Konsert Bunkface X Anniversary di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur sempena 10 tahun penubuhan mereka, baru-baru ini. Dalam keadaan industri muzik tempatan dikatakan hambar, Bunkface berjaya menarik lebih 4,000 penonton memenuhi setiap ruang di stadium tertutup di atas bukit berhampiran Stadium Merdeka itu.

Bunkers (panggilan untuk peminat setia Bunkface) pada malam itu cukup ‘sporting’. Apa saja yang dilakukan Sam, Paan dan Youk di atas pentas dibalas dengan sorakan. Apa yang pasti, mereka cukup terhibur, lebih-lebih lagi apabila Bunkface membuka pentas pada malam itu dengan lagu Malam Ini Kita Punya.

Bunkface pula cukup bertenaga dalam persembahan mereka. Malam itu, trio ini dibantu bekas anggota Kristal, Ainul di posisi dram dan seorang pemain gitar serta keyboard. Walaupun dengan ‘line-ups’ yang ringkas, tetapi persembahan mereka cukup padat. Ini ditambah dengan sistem bunyi yang ‘menyedapkan’ telinga.

Mereka kemudian membawakan lagu Bunk Anthem, Ekstravaganza, Soldier, Kita Perang Kita Menang dan Rentak Laguku. Malah, mereka turut memberi peluang kepada seorang peminat menyanyikan sebahagian lagu Rentak Laguku di atas pentas.

Selain itu, mereka turut membawakan lagu Gadisku nyanyian asal Search sebagai penghargaan kepada band rock nombor satu negara.

Namun, mereka agak kerap ‘menghentikan’ konsert dan menayangkan beberapa klip video temu bual bersama individu yang rapat dengan mereka. Klip video itu mungkin menarik, tetapi kerap menghentikan persembahan (sama ada untuk menukar baju, berehat sekejap atau apa saja), mungkin boleh mengganggu momentum keghairahan penonton.

Sebaik-baiknya Bunkface membuat persembahan tanpa henti pada malam itu dan ia pastinya lebih menarik.

Namun, mereka pasti ada alasan tersendiri untuk berbuat demikian. Dan, ia bukanlah faktor yang mencacatkan keseluruhan perjalanan konsert mereka.

Hampir semua lagu yang mereka bawakan kena dengan kehendak Bunkers pada malam itu. Antaranya High School Rocker, Silly Lilly, Prom Queen, Bunk Not Dead, Panik dan Masih Di Sini.

Sam secara solo turut membawakan lagu Agenda Jahiliah, Jatuh, Dunia, You & Me dan Kembali sambil bermain gitar akustik.

Mereka turut mengundang Amir Jahari dalam lagu Orang Kita dan pemain alat tiupan (horns) dalam lagu popular Darah Muda. Selain itu, Bunkface turut membawa lagu ‘cover’ seperti Assalamualaikum (Faizal Tahir) dan Wonderwall (Oasis).

Persembahan ‘encore’ atau penutup mereka adalah paling menarik. Ketika membawakan lagu Revolusi mereka mengajak semua penonton termasuk kru melakukan ‘Mannequin Challenge’. Hampir 30 saat seluruh stadium sepi dengan aksi yang makin popular itu.

Bunkface mengakhiri konsert dengan lagu Malam Ini Kita Punya. Di penghujung lagu, kru mengambil alih pentas dengan memainkan muzik manakala Sam, Paan dan Youk melakukan ‘stage diving’!

Apa yang pasti, semua penonton pada malam itu pulang dengan senyuman kerana puas dengan persembahan ‘energetic’ Bunkface!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 5:03 AM