HAMILTON diraikan kru pasukan selepas muncul juara GP Kanada, minggu lalu.
HAMILTON diraikan kru pasukan selepas muncul juara GP Kanada, minggu lalu.
AFP

Baku: Lewis Hamilton menuju ke Baku untuk berlumba pada Grand Prix Eropah hujung minggu ini, yang pertama diadakan di Azerbaijan, dengan nada kecewa terhadap litar jalanan baharu yang agak stereotaip.

Pemandu Britain berusia 31 tahun itu, yang mengintai peluang melengkapkan kemenangan hatrik yang mungkin membantunya mengatasi rakan sepasukan Mercedes Nico Rosberg dalam kedudukan pemandu, berkata dia sudah mencuba litar itu menggunakan simulator pasukannya.

“Ia hanya satu litar baharu,” kata juara dunia tiga kali itu mengenai kemasukan kontroversi litar itu dalam kalendar F1 selepas mendapat bantahan penunjuk perasaan hak kemanusiaan.

“Hanya ada satu selekoh yang sukar. Ia mempunyai jalan lurus yang amat panjang... saya tidak perlu menyatakan mengenainya. Tak tahu apa saya nak kata...

“Monaco satu litar jalanan dan mereka tidak melakukannya sebegitu. Saya tidak faham kenapa mereka melakukannya, kenapa tidak buat saja litar jalanan seperti sepatutnya?

“Saya tidak faham. Sesetengah tempat agak lebar, selebar lebuh raya agaknya, tapi harapnya ia menarik.

“Saya dengar cuaca bagus dan harapnya ramai penonton yang hadir.”

Hanya beberapa hari selepas kemenangan keduanya musim ini pada Grand Prix Kanada sekali gus menyaksikan dia merapatkan jurang dengan Rosberg kepada sembilan mata, Hamilton mempunyai insentif tambahan dan momentum untuk meraih keputusan diingini.

Namun seperti amaran ketua pasukannya Toto Wolff, Mercedes tidak lagi boleh bergantung kepada keunggulan semula jadi dan menyedari Ferrari mungkin mampu mengatasi mereka.

Juara dunia empat kali Sebastian Vettel membuktikannya di Montreal apabila dia mendahului pada permulaan dan mungkin berjaya jika Ferrari tidak mengarahkannya menggunakan strategi hentian dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 9:22 AM