VETTEL ketika sesi latihan di  Litar Monaco.
VETTEL ketika sesi latihan di Litar Monaco.
AFP

Monte Carlo, Monaco: Pendahulu kejuaraan Sebastian Vettel cuba mengukuhkan cengkamannya hujung minggu ini dan mencetus tamparan buat pencabarnya dengan meraih kemenangan pertama Ferrari pada Grand Prix Monaco sejak 2001.

Juara empat kali itu mendahului Lewis Hamilton dari Mercedes dengan enam mata selepas lima daripada 20 perlumbaan musim ini, namun menuju ke perlumbaan klasik 78 pusingan di litar jalanan Mediterranean menyedari kemenangan terbukti penting dalam perebutan gelaran.

Dia juga menyedari kebimbangan di pihak Mercedes yang mungkin bergelut untuk menyaingi Ferrari di litar yang mempunyai banyak selekoh sempit itu yang dimenangi Hamilton tahun lalu.

Juara tiga kali itu memburu kemenangan ketiga di Monaco selepas turut menang pada 2008 manakala Vettel, yang menang bersama Red Bull pada 2011, mengintai kemenangan keduanya dan berdasarkan kebimbangan Mercedes, dia teruja dengan peluangnya.

“Ketika ini, Ferrari jelas ada kelebihan di sana,” menurut pengerusi pasukan Mercedes, Niki Lauda.

“Kami akan menghadapi masalah dengan roda lebar di sepanjang selekoh sempit. Ia pasti lebih teruk berbanding di Singapura.”

Sekalipun menang setiap perlumbaan di Monte Carlo sejak 2013, Mercedes jelas bimbang mereka bermula dengan kekurangan.

Valtteri Bottas, yang menggantikan juara dunia yang bersara Nico Rosberg sebagai rakan sepasukan Hamilton memberi amaran: “Kereta dengan lebar roda terpanjang di litar yang mempunyai banyak selekoh perlahan, kami mungkin akan lebih perlahan berbanding mereka.”

Hamilton bagaimanapun akan tampil antara pilihan untuk mencabar kemenangan selepas menang di Sepanyol dua minggu lalu dan menyedari dia tidak boleh memberi peluang lagi kepada Vettel untuk membina momentum.

Perlumbaan itu adalah yang ke-64 Grand Prix Monaco dalam kejuaraan dunia - sekalipun ia adalah perlumbaan ke-75 sejak 1929 - dan akan menyaksikan bekas pemenang yang kembali daripada persaraan Jenson Button, juara 2009, menggantikan juara dua kali Fernando Alonso di McLaren.

Alonso sebaliknya akan menyertai perlumbaan Indianapolis 500 manakala Button, yang memulakan perlumbaan F1 ke-306, berharap pakej peningkatan Honda boleh membantunya mencipta impak bersama pasukan paling berjaya dalam sejarah Monaco.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 9:57 AM