Hamilton akan bermula di petak utama. FOTO Reuters
Hamilton akan bermula di petak utama. FOTO Reuters
Reuters

SINGAPURA: Lewis Hamilton mengukuhkan cengkaman untuk memastikan gelaran dunia kelima Formula Satu (F1) apabila merebut kedudukan petak pendahulu Grand Prix Singapura bersama jentera Mercedes, hari ini.

Pemandu Britain itu 30 mata mengatasi pencabar utama Sebastian Vettel berbaki tujuh pusingan, melakukan catatan 1 minit 36.015 saat di litar jalanan Marina Bay Street untuk rekod 79 kedudukan petak pendahulu, 0.319s di depan pemandu Red Bull, Max Verstappen.

Pasangan Ferrari, Vettel dan Kimi Raikkonen mencipta kepantasan pada sepanjang minggu tetapi pemandu Jerman itu hanya berkedudukan ketiga, kurang setengah saat dan akan bermula di sebelah pemandu Mercedes, Valtteri Bottas yang juga keempat terpantas.

“Pusingan itu rasa seperti magis. Saya sendiri tidak tahu bagaimana ia terjadi,” kata Hamilton dalam temubual.

“Ia mencapai tahap sempurna. Saya rasa ia satu daripada masa sepusingan terpantas terbaik pernah saya lakukan,” kata pemandu Britain itu yang menggambarkan litar 23 selekoh itu sebagai “Monaco yang menggegarkan.”

Catatan Hamilton tiga setengah saat lebih pantas berbanding kedudukan pendahulu Vettel tahun lalu dan akan memberikannya laluan mudah di permulaan dekat litar yang sudah dimenanginya sebanyak tiga kali sebelum ini dan dia tampak akan terus menguasai kejuaraan keseluruhan.

Verstappen juga mencipta kejutan apabila berkedudukan kedua di belakang Hamilton, sedikit terlepas selaku pemandu di kedudukan permulaan termuda dalam F1 namun dia tetap gembira dengan kejayaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 11:01 PM