AP

Shanghai: Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton meletakkan dirinya sebagai pemandu yang harus ditewaskan pada Grand Prix China selepas mengatasi cabaran sengit rakan sepasukan Nico Rosberg sekali gus menyambar petak utama pada sesi kelayakan semalam.

Catatan Hamilton satu minit 35.782 saat hanya 0.04 saat pantas berbanding Rosberg.

Ia petak utama ketiga berturut-turut Hamilton musim ini dan kelima buatnya secara keseluruhan di Litar Antarabangsa Shanghai.

“Saya sukakan litar ini, saya fikir ia agak bersesuaian dengan corak pemanduan saya berbanding litar lain dan memang saya seronok berlumba di sini,” katanya.

Rosberg jelas kecewa berakhir di belakang rakan sepasukannya itu sekali lagi. Apabila pasukannya memberitahu menerusi radio, Rosberg membalas dengan nada sedih “Alamak, tolonglah!”

“Ia hanya 0.04 saat dan ia membuatkan saya rasa lebih kecewa kerana perbezaannya terlalu kecil,” ujarnya.

Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel, yang mengejutkan dua pemandu Mercedes itu untuk memenangi GP Malaysia dua minggu lalu, layak di tangga ketiga namun hampir satu saat di belakang Hamilton.

Pemandu Williams, Felipe Massa dan Valtteri Bottas akan bermula di petak keempat dan kelima hari ini.

Melengkapkan 10 pemandu teratas Kimi Raikkonen (Ferrari), Daniel Ricciardo (Red Bull), Romain Grosjean (Lotus) dan dua pemandu Sauber, Felipe Nasr dan Marcus Ericsson.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:11 AM