Reuters

Shanghai: Lewis Hamilton mengatasi saingan sengit Kimi Raikkonen pada kedua-dua sesi latihan bebas Grand Prix Formula Satu China semalam namun jentera Ferrari dipandu pelumba Finland itu cukup pantas untuk mencetus kebimbangan Mercedes.

Hamilton yang mengatasi rakan sepasukan Nico Rosberg pada sesi pertama, melengkapkan jarak 5.451 kilometer di Litar Antarabangsa Shanghai dengan satu minit, 37.219 saat pada sesi kedua bagi mengatasi Raikkonen dengan perbezaan 0.4 saat.

“Secara umum saya berasa selesa dengan jentera ini dan gembira dengan persiapan. Harapnya ia dapat membantu saya di sini,” kata Hamilton.

“Jentera Ferrari kelihatan sepantas seperti di Malaysia, tapi harapnya kami lebih pantas berbanding mereka.”

Daniel Ricciardo di tangga ketiga dengan jentera Red Bull, apabila pemandu Australia itu melonjak pada lewat sesi selepas tidak keluar bagi 45 minit pertama kerana pasukan itu bergelut untuk menyejukkan brek.

Sebastian Vettel dari Ferrari, yang menjuarai Grand Prix Malaysia dua minggu lalu, di tangga keempat selepas mengelak terbabas awal, mengatasi rakan senegaranya Rosberg, yang melakukan kesilapan pada hujung saingan dan hanya mampu berada di tangga kelima.

“Pada pusingan pertama, saya fikir kami lebih pantas dan perlu mengkaji rentak perlumbaan jika mahu terus mendominasi,” kata Rosberg yang hampir berlanggar dengan Raikkonen pada lewat sesi ketika kedua-dua kereta berebut posisi.

“Ia agak hampir. Dia tidak memberi ruang pada selekoh dua, tapi OK, tindakan yang adil, kemudian saya berjaya mengatasinya dalam beberapa selekoh. Ia perlumbaan yang bagus dan mungkin anda akan lihat aksi sama pada perlumbaan Ahad ini.”

Pada sesi pagi, Mercedes dilihat berjaya meraih semula dominasi mereka dalam cuaca sejuk di China selepas mengalami kekalahan mengejut di tangan Ferrari dalam cuaca panas berbahang di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:24 AM