EMPAT atlet UUMNGA akan beraksi di Brive-La-Gaillarde, Perancis pada 23 hingga 26 Jun ini.
EMPAT atlet UUMNGA akan beraksi di Brive-La-Gaillarde, Perancis pada 23 hingga 26 Jun ini.

Alor Setar: Empat atlet Akademi Golf Nasional Universiti Utara Malaysia (UUMNGA) akan mewakili negara ke Kejohanan Universiti Dunia (WUC) ke-16 di Brive-La-Gaillarde, Perancis pada 23 hingga 26 Jun ini.

Atlet berkenaan ialah Muhammad Afif Muhammad Razif, 21, Sazanur Iman Salenin, 19, Hillferah Tan, 25, dan Nurul Syahirah Afiqah Saparudin, 23, yang kesemua mereka pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian.

Naib Canselor UUM Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berharap pemain berkenaan dapat memberi persembahan terbaik walaupun terpaksa beraksi dalam bulan puasa.

“Tidak mustahil kita boleh berjaya sebagaimana pencapaian cemerlang pada edisi 2014 di Crans-Montana, Switzerland apabila berjaya memenangi pingat perak acara individu lelaki dan tempat keempat berpasukan lelaki,” katanya.

Seramai 130 peserta dari 28 negara akan bertanding di kejohanan itu bagi merebut empat emas ditawarkan menerusi acara individu lelaki dan wanita dan berpasukan lelaki dan wanita.

Pengurus pasukan yang juga Pengarah UUMNGA Prof Madya Dr Azman Yasin pula berkata pemain berkenaan sudah memulakan latihan pusat sejak 7 Jun lalu.

“Segala program latihan diatur sudah dilaksanakan dengan baik dan bagi fasa terakhir ini tumpuan lebih diberikan pada kekuatan mental, pemeriksaan rutin dan sasaran atau objektif,” ujarnya.

Bagi Muhammad Afif yang sudah dua kali mewakili negara di kejohanan peringkat universiti sebelum ini, dia menyasarkan memungut pingat kali ini.

“Persiapan dan latihan untuk ke Perancis terutama dari segi segi mental dan kecergasan fizikal giat dijalankan walaupun pada ketika ini peperiksaan semester sedang berlangsung,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 7:07 AM