Asrizal Aris


Kuala Lumpur: Ketika di zaman kanak-kanak, permainan memukul bola masuk ke lubang menjadi kegemaran. Siapa sangka, ketika berusia 15 tahun, Muhammad Afif Muhammad Razif sudah bergelar pemain golf negara dan bersaing dengan pemain profesional antarabangsa.

Kejayaan itu menjadi kenangan paling manis buat pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kini sudah mencipta nama di ranking dunia dalam karier sukan golf.

Meskipun golf dianggap sebagai sukan untuk golongan berusia dan kaya, dakwaan itu sedikit pun tidak mematahkan semangat mahasiswa berusia 21 tahun ini untuk mencipta pelbagai gelaran dalam kejohanan kebangsaan ketika di usia muda.

Muhammad Afif berkata, dia mula mahir memukul bola tepat pada sasaran sejak berusia enam tahun dan bakatnya itu diserlahkan dalam pelbagai pertandingan ketika berada di tingkatan dua.

Katanya, sejak berusia 15 tahun dia sudah mewakili negara, namun menceburi bidang sukan profesional itu tidak menghalangnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Meskipun kita selesa dengan karier yang kita kecapi, ilmu tetap perlu ditimba untuk kehidupan seharian. Saya masih muda dan masih berpeluang menimba ilmu sebanyak mungkin.

“Biarpun sukar membahagikan masa untuk pelajaran kerana terlalu kerap dengan kejohanan, saya akan ‘kejar’ semula topik yang tertinggal supaya tidak mengulang semula peperiksaan,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurut Muhammad Afif, dia akan menolak sebarang tawaran menyertai kejohanan apabila tiba musim tugasan berkumpulan dan peperiksaan kerana perlu memberi keutamaan kepada pengajian terlebih dahulu.

“Latihan kecergasan dan pukulan tetap dibuat, cuma masa itu dibahagikan lebih untuk pelajaran supaya ia seimbang. Selain itu, jika ada masa terluang pada waktu petang, saya akan pergi memancing atau bermain bola sepak.

“Alhamdulillah setakat ini pengajian saya tiada masalah dan pensyarah juga sentiasa membantu memberi nasihat serta dorongan kepada saya,” kata anak sulung daripada lima beradik itu.

Menurutnya, dia menyimpan hasrat untuk bergelar pemain golf profesional bertaraf antarabangsa di kedudukan ranking 20 terbaik selain bercita-cita menjadi seorang jurulatih sukan.

Katanya, kini dia terikat di bawah Persatuan Golf Malaysia (MGA), Akademi Golf UUM dan turut mewakili Kuala Lumpur untuk Sukan Malaysia (SUKMA) dalam acara berkumpulan.

“Namun, saya lebih beri perhatian untuk mewakili UUM kerana saya belajar di sini. Tetapi jika ada jemputan kejohanan luar negara saya akan sertai kerana mahu mengharumkan nama Malaysia selain menimba pengalaman baru,” kata anak jati Pulau Pinang itu.

Menurut anak kepada pasangan Muhammad Razif Abdul Rashid dan Hasnizah Ramli, dia mengharapkan agar lebih ramai pemain muda berbakat negara akan menyertai sukan yang diceburi itu.

Katanya, golf tidak semestinya sukan untuk golongan korporat, tetapi ia boleh diterapkan pada usia muda dan jadikan sebagai karier yang menjamin masa depan yang cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:20 AM