Sayuti (tengah) bersama barisan pelumba basikal TSC.
Sayuti (tengah) bersama barisan pelumba basikal TSC.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur : Percaturan menurunkan pelumba muda nyata membuahkan hasil apabila Team Sapura Cycling (TSC) menguasai empat daripada lima kategori yang dipertandingkan dalam acara lelaki di Kejohanan Berbasikal Kebangsaan, semalam.

Pengurus pasukan TSC, Sayuti Zahit berkata pelumba menunjukkan komitmen yang jitu untuk bergelar juara.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kerana berjaya menganjurkan kejohanan itu dengan jayanya.

Pasukan yang berpangkalan di Kuala Lumpur, TSC hanya terlepas satu gelaran itu iaitu acara lepas beramai-ramai bawah 23 tahun yang dikuasai oleh pelumba Terengganu A, Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim.

"Alhamdulillah TSC dapat membawa pulang empat jersi daripada lima yang dipertandingkan dan ia adalah satu petanda baik bagi pelumba muda kami.

"Ini jelas mereka sentiasa bersedia memikul tanggungjawab apabila diberikan dan berjaya melaksanakan misi pasukan.

"Bagaimanapun ingin saya tegaskan bahawa kejayaan ini tidak datang dengan mudah. Mereka menjalani latihan yang keras beberapa bulan lalu dan kejayaan di Kejohanan Kebangsaan itu adalah hasilnya," katanya.

TSC mengungguli acara ujian masa berpasukan dan individu bawah 23 tahun menerusi Muhammad Nur Aiman Rosli, Mohammad Saari Amri Abd Rasim dan Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri.

Manakala ujian masa berpasukan elit milik Mohamad Saari Amri Abd Rasim, Muhammad Nur Aiman Rosli, Muhsin Al-Redha Misbah dan Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri dengan Akmal Hakim Zakaria muncul juara acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Kejohanan Lebuh raya Kebangsaan 2020 sejauh 182 kilometer.

Menurut Sayuti, kejayaan itu membuktikan TSC berada di landasan tepat untuk mengekalkan ranking nombor satu Asia untuk tahun ini manakala satu lagi pasukan benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG) di tempat kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 9:11 PM