Magdy menangis ketakutan kerana menyangka diserang Daish.
Magdy menangis ketakutan kerana menyangka diserang Daish.
Agensi

Kaherah: Seorang aktres Mesir menjadi mangsa gurau kasar ketika satu program televisyen apabila menyangka diserang Daish, malah dipaksa memakai tali pinggang dimuatkan ‘bom’ menyebabkan wanita itu menjerit ketakutan.

Heba Magdy dijadikan mangsa dalam rancangan televisyen ‘Mini Daesh’ yang menggunakan pelakon berpakaian ala tentera serta membawa bendera Daish untuk menakutkan orang ramai.

Isnin lalu, rangkaian televisyen Al Nahar menunjukkan di Twitter klip video program itu yang dirakam menggunakan kamera tersembunyi.

Ia menunjukkan Magdy menangis teresak-esak dikelilingi sekumpulan lelaki bertopeng membawa pistol dan cemeti.

Wanita yang menjerit ketakutan itu juga dilihat cuba menyorok di sebalik kerusi apabila seorang ‘pengganas’ cuba memaksanya memakai rompi diisi ‘letupan.’

Ia berakhir dengan polis kononnya mengepung bangunan dan letupan mercun dapat didengar.

Agensi berita AhluBayt melaporkan, Magdy tidak tahu ia sekadar lakonan dan benar-benar percaya dia diserang Daish.

Ini bukan kali pertama gurauan tidak bertempat dilakukan di Mesir, malah Paris Hilton mengugut menyaman penghibur Ramez Galal kerana gurauan kononnya pesawat dinaiki bintangnya akan terhempas.

Dalam kejadian tahun lalu itu, Paris menaiki pesawat ke Dubai untuk pelancaran hotel baru sebelum juruterbangnya mensimulasi kegagalan enjin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 5:15 AM