Nor Hanisah Kamaruzaman

Galeri Prima di Anjung Riong The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Balai Berita, Bangsar membuka tirai dengan menampilkan pameran sulung selepas mula beroperasi 1 Jun lalu.

Sejarah Galeri Prima bermula pada 1994 apabila NSTP membuka ruang bagi artis dan pengkarya mempamerkan hasil seni masing-masing.

Bermula di Lobi NSTP, Galeri Prima yang terletak bersebelahan bangunan NSTP menawarkan kawasan lebih luas bagi menampung permintaan ruang pameran.

Galeri dua tingkat ini boleh memuatkan lebih 60 karya untuk dipamerkan dalam satu masa kerana kawasannya lebih luas berbanding lobi.

Pameran sulung yang memenuhi ruang galeri berkenaan ialah gabungan dua pengkarya, iaitu Prof Dr Abdul Jalil Othman dan Johan Ishak.

Walaupun kedua-duanya mengetengahkan genre seni berbeza, koleksi karya mereka pada pameran itu tampil harmoni dan selari mengikut tema yang sama.

Menurut Johan, tema buana dipilih selepas perbincangan bersama Dr Abdul Jalil dan tema itu dirasakan bersesuaian bagi merapatkan jurang perbezaan karya seni mereka.

“Buana perkataan klasik Melayu lama bermaksud dunia dan perkataan itu kami rasakan sesuai kerana masing-masing gemar menampilkan keindahan alam dan ciptaan Tuhan.

“Genre yang ditampilkan Dr Abdul Jalil ialah abstrak eskpresionis manakala saya ketengahkan genre kontemporari.

“Jadi perbezaan itu tidak terlalu ketara, malah kami saling melengkapi antara satu sama lain dengan menampilkan koleksi sama pada pameran ini,” katanya.

Hasil tangan Dr Abdul Jalil lebih menampilkan ketenangan dan keindahan alam semulajadi dengan menyelitkan elemen landskap dan kehidupan.

Dari segi teknik pula, karya Dr Abdul Jalil mengetengahkan teknik semburan tanpa menggunakan berus bagi memberi kelainan dan keunikan dalam karyanya kali ini.

Bagi Johan pula, karya dihasilkannya lebih menonjolkan kehancuran alam semua jadi dan kemusnahan dunia akibat salah laku manusia.

Koleksi karya pada pameran berkenaan turut meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai alam semulajadi yang makin rosak dan pupus jika tidak dipelihara dan dipulihara.

Menggabungkan beberapa medium seperti cat semburan, dakwat, arang dan akrilik di atas kanvas, Johan memberi kelainan dengan mengetengahkan teknik catan menggunakan jari-jemarinya.

“Campuran warna akrilik saya buat di atas lantai dan saya ambil warna akrilik untuk aplikasikan di atas kanvas menggunakan jari,” katanya.

Sebanyak 38 karya dipamerkan dalam pameran itu dan lebih separuh daripadanya sudah terjual.

Pameran yang dirasmikan Ketua Pegawai ­Eksekutif NSTP Datuk Mohammad Azlan Abdullah pada 3 Jun lalu itu bakal berlangsung sehingga 29 Julai ini dan masuk percuma.

INFO

PAMERAN BUANA 2016

- Artis: Prof Dr Abdul Jalil Othman dan Johan Ishak

- Jumlah karya: 38 karya

- Lokasi: Galeri Prima, The New Straits Times Press ((M) Bhd (NSTP), Balai Berita, Kuala Lumpur

- Tarikh: Sehingga 29 Julai

- Masa: 9 pagi hingga 6 petang

- Telefon: 017-988 1185 (Johan) / 017-777 5647 (Dr Abdul Jalil)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 12:36 PM
ANTARA pengunjung Galeri Prima pada majlis perasmian Pameran Buana 2016, baru-baru ini.
ANTARA pengunjung Galeri Prima pada majlis perasmian Pameran Buana 2016, baru-baru ini.
ANTARA karya Dr Abdul Jalil yang menggunakan teknik semburan tanpa berus.
ANTARA karya Dr Abdul Jalil yang menggunakan teknik semburan tanpa berus.
HASIL seni Johan yang mengetengahkan motif kehancuran alam.
HASIL seni Johan yang mengetengahkan motif kehancuran alam.
JOHAN Ishak
JOHAN Ishak
DR Abdul Jalil
DR Abdul Jalil