DR Abdul Jalil (kiri) dan Johan bersama karya seni mereka pada Pameran Lukisan Buana di Galeri Prima, Balai Berita.
DR Abdul Jalil (kiri) dan Johan bersama karya seni mereka pada Pameran Lukisan Buana di Galeri Prima, Balai Berita.
myMetro

Kuala Lumpur: Dua pelukis terkenal tanah air, Profesor Dr Abdul Jalil Othman dan Johan Ishak bergabung tenaga mengadakan pameran bersama dengan tema Buana di Galeri Prima, The New Straits Times Press (NSTP), di sini.

Pameran selama dua bulan sehingga 29 Julai depan itu menghimpunkan lebih 45 koleksi terbaru dua pelukis berkenaan.

Abdul Jalil yang juga pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya berkata, pameran itu memberi peluang kepada beliau mengetengahkan lagi lukisan menggunakan teknik semburan (splash) tanpa menggunakan berus.

Katanya, lukisan itu sebelum ini kurang diketengahkan meskipun ia mempunyai banyak keistimewaan tersendiri.

“Saya mahu lukisan menggunakan teknik splash ini menjadi identiti diri dan percaya ia mampu menarik minat penggemar lukisan.

“Ia sesuai dengan tema dipilih (Buana) kerana menerusi teknik semburan, pelbagai landskap kehidupan, dataran, lautan mahupun langit dapat diterjemah serta dikomposisi dengan lebih abstrak dan pelbagai,” katanya pada majlis perasmian pameran berkenaan, semalam yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Mohammad Azlan Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:14 AM