HASIL kerja tangan Fadhli Yusoff bertajuk ‘Pasar Dunia’.
HASIL kerja tangan Fadhli Yusoff bertajuk ‘Pasar Dunia’.
LUKISAN cat minyak di atas kanvas yang karya artis Fitriah Roslan.
LUKISAN cat minyak di atas kanvas yang karya artis Fitriah Roslan.
KAMAL bersama karya lukisan menggunakan medium akrilik di atas kanvas bertajuk ‘Hadza Sayamurru’.
KAMAL bersama karya lukisan menggunakan medium akrilik di atas kanvas bertajuk ‘Hadza Sayamurru’.
ANNIKETYNI menampilkan koleksi karya arca kayu yang diukir halus dan teliti dengan motif Pua Kumbu dan beg tangan mewah.
ANNIKETYNI menampilkan koleksi karya arca kayu yang diukir halus dan teliti dengan motif Pua Kumbu dan beg tangan mewah.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Galeri Prima dengan kolaborasi Galeri Artcube membuka tirai pameran sempena Ramadan ini dengan menganjurkan pameran seni Islamik kontemporari yang diberi nama ‘Faith’.

Sebanyak 65 karya seni berkonsepkan kontemporari Islamik dipamerkan merangkumi lukisan, kaligrafi dan arca.

Hasil seni yang ditampilkan tidak hanya tertumpu pada kaligrafi Arab klasik tapi turut membabitkan karya sarat dengan kisah dan unsur Islam tersendiri.

Seramai 19 artis terbabit menghasilkan karya dari genre kaligrafi, abstrak dan figura serta menggunakan pelbagai jenis medium antaranya kayu, besi, akrilik, cat minyak dan campuran media.

Bagi artis muda Kamal Sazali, pameran Faith adalah penampilan sulung bagi karya berkonsepkan kontemporari Islamik.

Kerap menghasilkan lukisan figura, pameran kali ini mengetengahkan tiga karya surealisme dan setiap satu menyimpan makna dan cerita tersendiri.

Karya yang dihasilkan menggunakan medium akrilik di atas kanvas bertajuk ‘Hadza Sayamurru’ diinspirasi daripada kisah teladan Arab antara yang mencuri perhatian.

“Karya itu diambil daripada kisah teladan Arab dan ‘Hadza Sayamurru’ bermaksud ‘Ini Akan Berlalu’.

“Kisah ini begitu menyedarkan kerana ia memberitahu kita setiap yang berlaku akan berlalu tidak kira perkaya yang menyedihkan atau menggembirakan,” katanya.

Pengarca kontemporari wanita terkemuka, Anniketyni Madian turut menampilkan hasil keja tangan yang diperbuat daripada bahan semula jadi iaitu kayu.

Jika sebelum ini Anniketyni lebih banyak fokus pada penghasilan arca dinding, pameran Faith memperlihatkan kelainan dalam karyanya.

Ukiran teliti dan halus dengan motif Pua Kumbu dan corak beg tangan mewah itu lebih kompleks dan rumit berbanding karya sebelum ini.

Anniketyni berkata, koleksi arca yang diketengahkan dalam pameran Faith adalah pratonton bagi koleksi untuk pameran solo yang bakal diadakan pada Ogos tahun ini.

“Koleksi yang saya tampilkan kali ini adalah pratonton untuk pameran solo saya bakal diadakan pada Ogos depan di Galeri Artcube.

“Elemen beg tangan mewah adalah simbol barangan mewah kerana saya ingin mengingkatkan kesedaran ramai terhadap obses untuk memiliki beg tangan atau barangan mewah dalam kalangan masyarakat.

“Memiliki beg tangan atau barangan mewah membawa satu perasaan yang berbeza dan rasa bangga yang berlainan sehingga kadangkala ada yang sanggup membuat pinjaman semata untuk memilikinya,” katanya.

Selain Anniketyni dan Kamal, 17 artis lain yang turut terbabit adalah Husin Hourmain, Mohd Noor Mahmud, Fadli Yusoff, Amir Amin, Megat Zaim Zharif, Syukur Rani, Putra Nazri, Ezwa Hasin, Fitriah Roslan, Mnhafiz Hamzah, Alif Afandi Azman, Amirul Roslan, Khairani Ahmad Zakuan, Khaliq Az-Zahi, Burhanuddin Bakri, Amierul Iskandar dan Amin Harun.

Bagi yang berminat untuk menghayati hasil seni Islamik kontemporari itu boleh kunjungi Galeri Prima yang terletak di Balai Berita, 31 Jalan Riong, Bangsar Kuala Lumpur.

Pameran yang bermula sejak 29 Mei itu berlangsung sehingga 28 Julai dan galeri dibuka dari Isnin hingga Jumaat pada 10 pagi hingga 6 petang manakala Sabtu dan Ahad dibuka mengikut temu janji.

INFO

FAITH

• Artis: Berkumpulan (19 artis)

• Jumlah karya: 65

• Lokasi: Galeri Prima, Balai Berita, 31 Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur

• Tarikh: 29 Mei hingga 28 Julai 2017

• Waktu: 10 pagi hingga 6 petang

• Telefon: 03-2724 8300, 013-4490344, 012-3222081 atau 011-22158133

• FB: galeri.prima

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 10:20 AM