SEBANYAK tujuh karya diketengahkan dalam pameran Mixed Hang yang berlangsung di ruang pameran utama, Galeri G13.
SEBANYAK tujuh karya diketengahkan dalam pameran Mixed Hang yang berlangsung di ruang pameran utama, Galeri G13.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Membuka tirai Ramadan ini, Galeri G13 menampilkan karya pelbagai genre dalam satu pameran yang diberi nama ‘Mixed Hang’.

Pameran berkumpulan itu menampilkan kerja tangan gabungan artis lama dan baru seperti Faizal Suhif, Hirzaq Harris, Nik Mohd Hazri, Hidayat Arshad, Rafiee Ghani, Khairudin Zainudin dan Nik Mohd Shazmie.

Menariknya, pameran yang diadakan di ruang pameran utama itu tidak terikat dengan sebarang tema dan memberi peluang kepada artis untuk menterjemahkan identiti, idea, perasaan dan fikiran di atas kanvas.

Menurut pengarah galeri Kenny Teng, pameran Mixed Hang adalah platform kepada artis terpilih menghasilkan karya seni mengikut kreativiti tanpa batasan.

“Kebiasaannya, pameran berkumpulan menetapkan satu tema tertentu bagi menghasilkan satu koleksi karya yang harmoni.

“Namun, Mixed Hang menjadi landasan untuk mereka hasilkan sesuatu yang bersifat tersendiri dan peribadi bagi artis. Jadi, pengkarya juga dapat meneroka dan bereksperimen tanpa had menggunakan sebarang medium,” katanya.

Selain itu, kebanyakan hasil seni yang ditampilkan adalah karya istimewa dan tidak pernah ditayangkan dalam pameran lain sebelum ini.

“Pengunjung pasti tidak jemu menghayati hasil karya kali ini kerana ia tidak pernah dipertontonkan di mana-mana pameran sebelum ini.

“Sebanyak tujuh karya yang dipamerkan juga memperlihatkan pelbagai genre berbeza kerana turut menggabungkan kerja tangan artis senior dan artis baru,” katanya.

Antara medium yang diketengahkan adalah akrilik di atas kanvas, campuran media dan gabungan akrilik serta cat minyak di atas kain jut.

Galeri beroperasi pada 11 pagi hingga 5 petang dan dibuka kepada orang ramai sehingga 30 Jun ini. Maklumat lanjut layari Facebook www.facebook.com/G13gallery.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 3:46 AM