Siti Farahiyah Aziz

Jika sebelum ini masing-masing sibuk dengan tugasan atau tuntutan kerja dan belajar, apabila Ramadan keadaan itu seolah-oleh berubah apabila masing-masing meluangkan masa berkumpul untuk iftar dan sahur.

Kebanyakan orang termasuk golongan muda mengambil kesempatan memanfaatkan bulan yang mulia ini untuk memperkukuhkan hubungan sesama manusia dan Allah.

Adab dan budaya yang diterapkan oleh generasi dulu seolah-olah sebati dalam diri anak muda apabila ada yang masih mengamalkan konsep berkongsi juadah bersama rakan.

Antara aspek yang penting dalam mengekalkan ukhuwah sesama manusia termasuk:

Sopan

Sikap sopan sesama manusia tidak pernah merugikan anda, malah ia memberi pelbagai manfaat kerana sikap itu membuat seseorang disenangi semua.

Menjaga cara percakapan dan menghormati orang yang lebih tua membuatkan anda turut dihormati golongan itu. Sikap ini turut membuatkan orang sekeliling anda akan sentiasa mengharapkan anda ada bersama mereka.

Saling bertegur sapa

Bertegur sapa bukan bermakna menyibuk hal orang lain, tetapi ia adalah tanda memulakan perbualan. Namun janganlah sehingga membuatkan mereka berasa rimas dengan anda.

Siapa tahu bertegur sapa dengan jiran atau orang baru boleh memberikan keselesaan dan secara tidak langsung dia menjadi orang pertama yang akan membantu ketika dalam kesusahan kelak.

Rendah diri

Jangan terlalu mudah menghukum orang lain dengan meletakkan taraf sebagai penghalang kepada suatu hubungan. Sebaliknya, belajar menerima orang sekeliling anda kerana dalam kekurangan, mereka ada kelebihan yang boleh membantu anda melengkapi kekurangan diri.

Jangan rasa anda adalah individu paling pintar dan akhirnya menjadikan anda orang yang sombong hanya kerana lebih berjaya berbanding orang lain.

Lakukan aktiviti sosial

Setiap individu mempunyai cara berbeza untuk mengisi masa terluang dan tidak salah sekiranya anda sudah menetapkan hujung minggu adalah masa bersama keluarga.

Masa bersama rakan pula hanya dilakukan pada hari lain menerusi aktiviti riadah atau menyertai program membabitkan golongan umur anda sahaja.

Manfaatkan lebaran

Selepas sebulan menjalani ibadah puasa, Aidilfitri hari yang ditunggu oleh semua orang kerana ketika itu semua ahli keluarga dan sanak-saudara berkumpul.

Tidak mustahil ketika itu anda berjumpa saudara yang tidak pernah dikenali sebelum ini kerana masing-masing sibuk dengan tuntutan tugas.

Bagaimanapun, cara terbaik memanfaatkan lebaran adalah dengan saling bermaafan supaya perhubungan terjalin kekal selamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 7:35 AM