ISLAM menganjurkan supaya dipertingkatkan amalan bantu-membantu sesama manusia dan sentiasa melatih diri untuk sedia memaafkan kesalahan.
ISLAM menganjurkan supaya dipertingkatkan amalan bantu-membantu sesama manusia dan sentiasa melatih diri untuk sedia memaafkan kesalahan.
Oleh Dr Zuraimy Ali

Islam sangat menitikberatkan hubungan persaudaraan sesama Muslim. Ikatan persaudaraan ini sudah terikat dengan akidah yang mampu memberikan seribu manfaat buat umat Islam.

Hal ini dituntut di dalam agama kerana ia sebahagian usaha untuk mewujudkan suasana saling bekerjasama dan tolong-menolong di antara satu sama lain. Islam sangat melarang keras terhadap sikap permusuhan dan kebencian sesama Muslim bahkan menganjurkan seruan perdamaian bagi mengukuhkan hubungan kerjasama yang erat di antara Muslim sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat ayat 10)

Justeru, rahmat Allah pasti akan tercurah bagi golongan yang sering menyahut seruan perdamaian dan meninggalkan persengketaan sesama Muslim.

Kehidupan dunia ini sebenarnya menguji kesabaran dan keimanan sebagai seorang Muslim. Ini kerana kita telah diperintahkan Allah SWT untuk memakmurkan bumi ini dengan memastikan hubungan persaudaraan terjalin kukuh bagi setiap Muslim.

Kemarahan dan kebencian hanya membawa kepada malapetaka sehingga mampu menumpahkan darah disebabkan kelalaian manusia untuk mengukuhkan hubungan kasih sayang sesama Muslim. Keharmonian tidak mungkin dicapai umat Islam jika masih ada pihak tertentu cuba membuat onar dan menabur bibit permusuhan demi mencapai kepentingan peribadi ataupun menaruh dendam yang tidak berkesudahan. Hal ini sememangnya disukai oleh musuh kepada umat Islam yang nyata iaitu syaitan dan iblis.

Sebahagian umat Islam yang lalai dan alpa sudah pasti akan terjerumus dalam perangkap iblis dan syaitan. Ini kerana al-Quran secara jelas menyatakan sumpah permusuhan dan dendam kesumat yang mula dilakukan oleh iblisĀ  disertai tipu muslihat syaitan terhadap anak cucu Nabi Adam AS yang terpateri di hadapan Tuhan bahawa golongan iblis yang dilaknat ini pasti menyesatkan seluruh kehidupan anak cucu Nabi Adam AS sampai kiamat sebagaimana dirakamkan al-Quran yang bermaksud: "Iblis berkata: 'Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus.'" (Surah al-A'raaf, ayat 16)

Untuk itu, sebagai orang yang beriman hendaklah sedaya mungkin berusaha untuk mengelak dari sikap permusuhan dan kebencian sesama Muslim. Hal ini melepaskan diri orang beriman dari tertipu dengan permusuhan yang dibisikkan oleh iblis dan syaitan.

Perangkap iblis yang dilaknat ini sudah pasti akan mengenai mangsanya yang lalai dan leka. Apakah kita lupa lanjutan daripada peringatan Tuhan buat manusia tentang tipu daya Iblis dan syaitan yang sering diingatkan Tuhan buat kita semua? berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Kemudian aku (Iblis) datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur." (Surah al-A'raaf, ayat 17)

Nikmat persaudaraan adalah nikmat yang besar dianugerahkan Tuhan buat manusia. Hakikatnya nikmat ini sering diabaikan oleh sebahagian umat Islam dan ternyata nikmat ini adalah cara yang sangat ampuh digunakan oleh Iblis untuk menipu manusia supaya terus mewujudkan perpecahan dan kebencian antara satu sama lain.

Kini, kita sering mendengar bagaimana seruan dan persepsi kebencian sering menjadi bualan masyarakat yang gemar mewujudkan naratif tidak sihat dan ianya menjadi suatu yang dianggap normal dalam masyarakat Islam.

Sesuatu yang menjadi cabaran terbesar di dalam negara ialah berlakunya pertembungan perbezaan pemikiran yang dahsyat dan kejahilan umat yang dilihat semakin meningkat seakan-akan diliputi oleh sifat kebencian dan permusuhan yang melampau. Namun jika setiap Muslim sentiasa mempunyai keazaman dan tekad yang kuat untuk menolak perpecahan dan kebencian sesama Muslim maka ianya pasti tersedia jalan keluar bagi mereka yang inginkan kemakmuran dan merasai nikmat persaudaraan.

Bagi membentuk sebuah masyarakat yang kukuh nilai persaudaraan maka seharusnya setiap Muslim menghayati firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa iaitu mereka yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya serta orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang berbuat perkara yang baik." (Surah ali-Imran ayat 133 dan 134)

Justeru, Islam menganjurkan supaya dipertingkatkan amalan saling membantu sesama manusia, mendidik jiwa menahan kemarahan dan sentiasa melatih diri untuk sedia memaafkan kesalahan serta kesilapan saudara Muslim kita.

Ini kerana dunia ini terlalu singkat waktunya untuk mewujudkan permusuhan dan kebencian sesama manusia

Jika kita umat Islam yang benar-benar faham tentang makna persaudaraan dan kasih sayang maka sudah semestinya kitalah umat yang sepatutnya menjadi contoh teladan yang baik bagi kepada masyarakat dunia yang lain.

Seharusnya kita sentiasa mempamerkan semangat ukhuwah yang tinggi sesama umat Islam. Kurangkan persepsi kebencian dan buang naratif buruk yang mengakar di dalam pemikiran umat Islam. Marilah kita bersama-sama menghayati hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah kamu saling membenci, janganlah saling mendengki dan janganlah kamu saling membelakangi dan jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara serta tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur sapa saudaranya melebihi tiga malam." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Jelas nyata keindahan Islam dalam mengekalkan hubungan persaudaraan. Semoga Allah SWT merahmati kita semua dan memasukkan kita ke dalam rahmat-Nya.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 7:00 AM