(dari kiri) Kamaruddin, Muhammad Haziq dan Vani mengaku bersalah mengemukakan laporan polis palsu membabitkan jenayah samun dan ragut pada bulan ini. FOTO Mohd Azren Jamaluddin
(dari kiri) Kamaruddin, Muhammad Haziq dan Vani mengaku bersalah mengemukakan laporan polis palsu membabitkan jenayah samun dan ragut pada bulan ini. FOTO Mohd Azren Jamaluddin
Mohd Sabran Md Sani

Kulai: Tiga individu termasuk seorang wanita didenda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah membuat laporan polis palsu membabitkan jenayah samun dan ragut pada bulan ini.

Tertuduh, G Vani, 39; Kamaruddin Hassan, 52, dan Muhammad Haziq Baharudin, 23, membuat pengakuan bersalah sejurus kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal.

Semua tertuduh mengaku membuat laporan palsu pada tarikh berasingan antara 3 hingga 6 Jun lalu di One Stop Centre Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kulai.

Ahmad Farid dalam keputusannya mengenakan denda RM500 terhadap Vani, RM700 terhadap Muhammad Haziq dan RM300 terhadap Kamaruddin.

Hukuman denda itu diputuskan selepas mengambil kira rayuan dikemukakan peguam K Vijayan yang mewakili semua tertuduh.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Siti Noriha Jamal@A Jalal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 1:04 PM