Sariman dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret Melaka kerana memiliki MyKad palsu. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Sariman dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret Melaka kerana memiliki MyKad palsu. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Seorang lelaki Lombok, Indonesia, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu hampir 20 tahun lalu.

Sariman Aripin, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Analia Kamaruddin selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki MyKad palsu atas nama Ahfizl Ahmad Suwandi pada jam 1 pagi di sebuah rumah di Tanah Merah Jaya, Tangga Batu, di sini, pada 13 Januari lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM20,000, atau kedua-dua sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan kerana bernikah dengan wanita tempatan selain mempunyai empat tanggungan selain menanggung kos perubatan anak di Hospital Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa JPN Mohd Nasrom Yusof merayu hukuman berat dikenakan kerana tertuduh sudah hampir 20 tahun berada di negara ini dan menggunakan kad pengenalan palsu.

Analia kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan bermula tarikh ditangkap pada 13 Januari lalu dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk pengusiran selepas tamat hukuman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 3:54 PM