PHALAENOPSIS turut menarik sebagai bunga gubahan.
PHALAENOPSIS turut menarik sebagai bunga gubahan.
PELBAGAI warna bunga orkid dapat anda temui di Sanyi Phalaenopsis Orchid.
PELBAGAI warna bunga orkid dapat anda temui di Sanyi Phalaenopsis Orchid.
PEMBIAKAN orkid jenis ini boleh dilakukan menerusi keratan ‘anaknya’ yang tumbuh dari tangkai bunga.
PEMBIAKAN orkid jenis ini boleh dilakukan menerusi keratan ‘anaknya’ yang tumbuh dari tangkai bunga.
PELBAGAI corak dan bentuk pasu hiasan.
PELBAGAI corak dan bentuk pasu hiasan.
ANTARA deretan pasu orkid yang ditawarkan.
ANTARA deretan pasu orkid yang ditawarkan.
Hartini Mohd Nawi


Dingin suhu bilik antara 25 hingga 30 darjah Celsius yang menempatkan orkid jenis phalaenopsis itu tidak terasa dek terpukau dengan keindahan bunga segarnya.

Di depan mata, deretan bunga aneka warna yang turut dikenali orkid rama -rama atau moth orchids itu melambai mesra menyapa kehadiran sesiapa saja.

Pesona bunga hiasan taman ini yang tumbuh subur dalam setiap pasu tiada menafikan ia antara terapi semula jadi terbaik.

Semua pengalaman taman orkid itu dapat anda nikmati sebaik melangkah masuk ke Sanyi Phalaenopsis Orchid, Petaling Jaya.

Susun letak orkid yang menarik dipandang dari pelbagai sudut itu secara langsung memberi idea terbaik buat anda menghias taman atau ruang kediaman.

Menurut wakil Sanyi Phalaenopsis Orchid Soh Li Ling, peminat orkid tentunya sudah maklum phalaenopisis antara yang popular di negara ini.

“Semakin hari, kian ramai yang menggemari orkid ini kerana bunganya dikatakan mampu bertahan kira-kira dua atau tiga bulan.

“Sama dengan bunga-bungaan segar yang lain kerana orkid ini turut memerlukan cahaya matahari terang.

“Bagaimanapun, perlu berada dalam keadaan teduh untuk membesar dan seterusnya berbunga,” katanya.

Penggunaan cahaya lampu antara alternatif menggantikan sinaran matahari.

Begitu juga dengan langsir lut sinar atau tirai yang biasanya digunakan untuk mengelak pancaran terus cahaya matahari.

Daun orkid yang subur biasanya hijau sederhana dan jika didapati terdapat daun kekuningan atau hijau gelap, bermakna kurang atau terlebih menerima cahaya matahari.

“Orkid ini tidak boleh terlalu kering atau basah tetapi dalam keadaan lembap selain perlu disiram secukupnya.

“Pagi adalah waktu siraman terbaik dan tidak digalakkan menyiram ketika malam kerana dikhuatiri boleh menyebabkan berlakunya pereputan,” katanya.

Berkenaan Sanyi Phalaenopsis Orchid pula, ia antara pusat sehenti phalaenopsis yang sering menjadi tumpuan peminat orkid.

Berada di situ juga anda tidak hanya dapat menyaksikan kira-kira 2,000 orkid phalaenopsis berbunga.

Ini kerana latar hijau kira-kira 5,000 orkid belum berbunga antara tarikan di situ.

Bersebelahan bilik atau ruang phalaenopsis berbunga itu, diwujudkan pula penempatan khas orkid yang perlu dirawat.

Apabila kembali segar dan berbunga, orkid itu diletakkan semula dalam bilik berhawa dingin.

Lebih menarik, ia yang beroperasi lebih 10 tahun itu bukan saja menawarkan pilihan orkid phalaenopsis semata-mata.

Malah aksesori hiasan pelengkap bunga di situ pastinya membuatkan anda rambang mata.

Deretan pelbagai jenis bekas tanaman atau gubahan orkid di satu sudut khas dilihat mampu menzahirkan dekorasi atau penataan taman yang anda inginkan.

Berminat sila kunjungi pusat sehenti orkid ini di Lot 15, Kawasan Landskap & Nurseri @ Garden Mart Tropicana, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya atau layari www.sanyiorchid.com untuk sebarang keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:02 AM