DARI kiri, akar anak pokok Dendrobium hibrid dipotong hingga 2.5sm sebelum dimasukkan ke dalam bekas baru. Zalani memasukkan anak pokok Dendrobium hibrid yang akarnya tidak perlu mencecah sehingga ke lantai pasu.
DARI kiri, akar anak pokok Dendrobium hibrid dipotong hingga 2.5sm sebelum dimasukkan ke dalam bekas baru. Zalani memasukkan anak pokok Dendrobium hibrid yang akarnya tidak perlu mencecah sehingga ke lantai pasu.
Hafiz Ithnin


BAGI mereka yang gemarkan tanaman orkid pasti tahu betapa sensitifnya tumbuhan hiasan itu dan perlu dijaga dengan ‘penuh kasih sayang’ jika ingin melihat ia terus segar mengeluarkan bunga yang cantik.

Manakala golongan muda terutama di bandar khasnya tinggal di kediaman strata yang berkeinginan untuk menanam tumbuhan berkenaan, pasti terbantut jika mengetahui sifat sensitifnya.

Bagaimanapun, baru-baru ini penulis sempat menemu bual Pengusaha Pulau Orkid di Tasik Kenyir, Terengganu yang juga Pengerusi Pelancongan Tasik Kenyir, Zalani Endut yang mempunyai pengalaman luas berkenaan pelbagai spesies orkid di Malaysia.

Beliau menasihatkan, bagi yang baru berjinak-jinak disarankan supaya memulakan dengan menanam orkid spesies Dendrobium hibrid yang lebih mudah dijaga dan sesuai untuk mereka yang tinggal di kawasan strata seperti kondominium atau pangsapuri kerana ruang bercucuk tanam agak terhad.

“Orkid ini lebih mudah dijaga kerana anda hanya perlu memastikan ia mendapat udara di bahagian akarnya dan sentiasa mendapat simbahan cahaya matahari.

“Malah ia hanya perlu digantung untuk memastikan udara sentiasa dapat diterima secara keseluruhan pada bahagian akar dan jika rumah yang mempunyai balkoni memang sesuai kerana anda boleh menggantungnya di dinding ruang itu,” katanya.

Zalani berkata, jika anda baru membeli anak pokok Dendrobium hibrid, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira terutama cara untuk menempatkannya di dalam pasu baru.

Katanya, pertama sekali anda perlu menyediakan pasu yang mempunyai banyak rongga atau lubang dan ia juga harus diisi dengan campuran arang serta serpihan batu.

“Selesai menyediakan tempat baru untuk anak pokok itu, kita perlu mengeluarkan anak pokok daripada beg atau pasu yang dituai dengan cara memotong akarnya. Tinggalkan kira-kira 2.5 sentimeter sahaja akar anak pokok berkenaan.

“Kemudian, anak pokok yang dipindahkan di dalam pasu baru, bahagian akarnya jangan ditanam terlalu dalam sehingga mencecah lantai pasu. Sebaik-baiknya biarkan ia berada di tengah-tengah campuran arang dan serpihan batu berkenaan bagi memastikannya mendapat udara yang baik,” katanya.

Tambahnya, bagi mempercepatkan Dendrobium hibrid berbunga perlu sentiasa mendapat cahaya matahari dan harus disiram dua kali sehari sahaja iaitu pagi dan petang. Keadaan lembap tidak sesuai untuknya.

“Dari segi baja juga mudah kerana kita boleh menggunakan air basuhan beras atau ikan untuk memberikannya ‘makanan tambahan’ dengan cara semburan. Cara ini lebih semula jadi dan menjimatkan.

“Selain itu, anda juga perlu peka dengan kulat kerana orkid dalam keluarga hibrid mudah mendapat jangkitan parasit itu jika tidak diurus dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 4:30 AM