TAMAN mini yang mengandungi pokok orkid dan pokok bromeliad dibina Mohd Kasim Saleh dari FELDA Pasoh 4 yang menghiasi persekitaran rumahnya.
TAMAN mini yang mengandungi pokok orkid dan pokok bromeliad dibina Mohd Kasim Saleh dari FELDA Pasoh 4 yang menghiasi persekitaran rumahnya.
Abnor Hamizam Abd Manap


RATUSAN orkid dan pokok bromeliad memenuhi persekitaran rumah peneroka Felda Pasoh Empat, Jelebu, Negeri Sembilan ini hingga ia sering kali menjadi tumpuan ramai.

Sanggup berhabis hingga ratusan ribu ringgit, Mohd Kasim Saleh, 70, tidak kisah berbelanja dalam usaha menanam pokok hiasan berkenaan di kawasan rumahnya itu.

Sejak 20 tahun lalu, Mohd Kasim mula menanam pelbagai jenis orkid yang dibeli dari serata tempat. Malah pernah ke Sarawak semata - mata mahu membeli orkid yang terdapat di sana.

"Jika diikutkan, untuk orkid sahaja lebih RM80,000 sudah dibelanjakan demi minat terhadap pokok yang menghasilkan bunga cantik itu.

"Ketika itu, jika dimaklumkan rakan - rakan peminat orkid di tempat mereka ada menjual orkid saya sanggup pergi untuk membelinya dan tidak kisah sekiranya perlu memandu jauh," katanya.

Mohd Kasim berkata, orkid paling mahal pernah dibelinya bernilai RM1,200 dari Sarawak selepas dimaklumkan orkid berkenaan hanya terdapat di negeri itu saja.

Bagaimanapun katanya, orkid antara spesies manja dan memerlukan perhatian sekiranya mahu ia menghasilkan bunga yang cantik.

ANTARA pokok bromeliad ditanam Mohd Kasim Saleh dari FELDA Pasoh 4 yang menghiasi persekitaran rumahnya.
ANTARA pokok bromeliad ditanam Mohd Kasim Saleh dari FELDA Pasoh 4 yang menghiasi persekitaran rumahnya.

Katanya, bukan sahaja memerlukan pembajaan seperti baja pokok, akar dan bunga semata-mata malah orkid perlu dilindungi daripada sebarang serangga perosak menyebabkan penjagaannya sedikit rumit serta memerlukan ketekunan pemiliknya," katanya.

Lebih 50 spesies dan pelbagai jenis orkid ditanam termasuk spesies liar dari hutan yang dibeli daripada rakan - rakan sealiran dan orang perseorangan," katanya.

Bagi menambah seri persekitaran rumahnya, Mohd kasim kemudian turut menanam pelbagai jenis pokok bromeliad yang berasal dari Amerika Selatan.

MOHD Kasim Saleh dari FELDA Pasoh 4  menunjukkan jenis pokok bromeliad yang ditanam sekitar rumahnya.
MOHD Kasim Saleh dari FELDA Pasoh 4 menunjukkan jenis pokok bromeliad yang ditanam sekitar rumahnya.

Bromeliad adalah tumbuhan tropika dari keluarga Bromaliaceace dengan karakter berwarna warni yang menarik dan semakin dikomersilkan.

Mohd Kasim berkata, disebabkan teruja dengan warna menarik dihasilkan dia sudah berbelanja sehingga RM30,000 bagi mengumpul pelbagai jenis pokok berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Katanya, pokok bromeliad sangat mudah dijaga dan tidak seperti orkid, kerana tiada amalan pembajaan bagi akar serta daun selain tiada penggunaan racun serangga.

Menurutnya, daun pokok bromeliad mengeluarkan pelbagai warna seperti merah, hijau atau kuning yang sangat cantik.

Malah sesetengah spesiesnya memerlukan cahaya matahari bagi membolehkan daunnya berwarna merah pekat namun ada juga pokok yang sensitif kepada cahaya matahari.

Ada juga bromeliad yang berdaun hijau sahaja namun apabila berbunga menghasilkan tiga warna secara berperingkat iaitu merah, kuning dan hijau. Semua warna bunga berkenaan boleh kekal sehingga tiga bulan.

Bromeliad pula sangat mudah ditanam sama ada diikat pada pokok, ditanam di dalam pasu atau di atas tanah selain cepat membiak malah boleh dijual pada harga yang tinggi berikutan tidak ramai yang mengusahakan pokok hiasan itu ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 6:30 AM