Watford, United Kingdom: Kapten England Wayne Rooney (gambar) menganggap Euro 2016 sebagai ujian terbesarnya sepanjang bergelar pemain antarabangsa selain mendedahkan sudah bertemu dan berbincang dengan pengurus baharu Manchester United Jose Mourinho.

Tumpuan Rooney ketika ini adalah mengetuai England untuk menentang Portugal pada aksi persahabatan terakhir sebelum skuad kendalian Roy Mourinho itu berlepas ke Perancis.

Tetapi ketika Mourinho hadir di padang latihan United buat kali pertama minggu ini, wartawan yang hadir pada sidang akhbar sebelum perlawanan bersama skuad kebangsaan England tidak melepaskan peluang untuk bertanya kepada Rooney mengenai perkembangan berkenaan.

“Saya memang ada berbual dan berbincang dengan beliau. Ia tempoh yang menyeronokkan buat Manchester United, diri saya dan juga semua pemain,” kata Rooney ketika ditanya mengenai pengurus baharu berkenaan.

“Beliau antara pengurus terbaik dunia dan rekodnya juga menarik. Justeru, saya tidak sabar untuk bermain di bawah kendaliannya.”

Mourinho yang pernah cuba membawa Rooney ke Stamford Bridge ketika masih bergelar pengurus Chelsea, menandatangani kontrak tiga tahun minggu lalu bagi menggantikan Louis van Gaal.

Rooney tidak akan bermain di bawah kendalian Mourinho sehingga jelajah pramusim United ke China bulan depan dan sebelum itu, dia mempunyai tugas besar bersama England.

Penyenaraian Marcus Rashford yang juga rakan sepasukan Rooney di United, membangkitkan kenangan mengenai dirinya yang dipanggil menyarung jersi kebangsaan ketika berusia 18 tahun untuk aksi Euro 2004 di Portugal.

Pada usia 30 tahun ketika ini dan sudah mewakili negaranya 110 kali serta 52 gol, Rooney adalah pemain senior England dan juga bakal memikul tanggungjawab selaku kapten buat kali pertama dalam kejohanan besar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 9:00 AM