Amin Idris

Sebelum kita bergraduasi sebagai simbol kita melepasi Akademi Ramadan meminjam istilah daripada buku tulisan A Razak Muthalib - Akademi Ramadhan, ayuh kita buat sedikit senarai semak supaya kita layak lulus dengan cemerlang.

Senarai semak

1. Puasa 30 hari: Kita semua tahu masuknya Ramadan maka umat Islam seluruh dunia akan berpuasa dari Subuh sehingga Maghrib selama 30 hari. Ini wajib buat kita semua umat Islam.

2. Tarawih: Pada waktu malam pula, kita mengimarahkan masjid, ada yang buat di rumah iaitu menunaikan solat Tarawih.

3. Baca al-Quran: Selain itu juga, Ramadan juga sebagai bulan diturunkan al-Quran. Seorang ulama yang bernama Al-Aswad bin Yazid - ulama besar tabi’in yang meninggal dunia 74 atau 75 Hijriyah di Kufah- mampu khatam al-Qur’an pada Ramadan setiap dua malam. Imam Qatadah biasanya khatam al-Qur’an dalam tujuh hari. Namun jika datang Ramadan ia khatam setiap tiga hari. Ketika datang 10 hari terakhir Ramadan, ia khatam setiap malamnya.

4. Menghidupkan malam: Malah tawaran hebat terkandung ketika Ramadan ialah malam al-Qadar (Lailatulqadar). Mereka yang beribadah pada malam ini umpama beribadah 1,000 bulan tanpa henti!

Langkah seterusnya ialah ‘output’ iaitu memastikan agar semua empat senarai di atas efektif.

Bukan sekadar lapar dan dahaga

Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada kita mengenai puasa iaitu: “Betapa banyak orang yang berpuasa namun dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga.” (Riwayat at-Tabrani).

Akademi Ramadan melatih kita bukan hanya lapar dan dahaga malah mengajar kita terbiasa untuk tidak bercakap bohong, sia-sia dan entah apa-apa. Malah, Rasulullah pernah beritahu kita bahawa mereka yang suka bercakap dusta, Allah takkan terima puasanya.

Dalam satu hadis riwayat Bukhari: “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan mengerjakannya maka Allah tidak memerlukan orang itu meninggalkan makanan dan minumannya (puasanya).”

Jika sebelum Ramadan kita suka maki orang, caci orang malah bercakap perkara mengarut, lucah dan sebagainya maka selepas Ramadan ukuran kesan Ramadan sama ada positif atau negatif ialah adakah perangai kita masih sama seperti sebelum Ramadan? Jika anda berjaya kurangkan atau lebih baik tinggalkan terus, maka ada harapan puasa anda memberi kesan positif kepada hidup anda.

Puasa bukan hanya soal kita dengan Tuhan, tetapi soal kita dengan manusia. Jom kita lihat bagaimana didikan Ramadan memberi kesan kepada hubungan kita dengan manusia: “Jika pada satu hari seorang antara kalian berpuasa, maka janganlah ia mengucapkan kata-kata kotor, mencetuskan pergaduhan dan tidak juga melakukan perbuatan orang bodoh. Dan jika ada orang yang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah ia mengatakan, ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa.’ (Riwayat Bukhori)

Minggu depan saya akan kongsi bagaimana cara kita nak bergembira, berseronok dan kecoh pada hari raya dan pada masa sama kita dapat pahala dan bagaimana laungan takbir ada kaitan dengan perang. Nantikan Gen Y Aidilfitri minggu depan!

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 12:48 PM