IDRIS (dua kiri) menyantuni masyarakat cina di Pasar Lama Bagan Serai. FOTO SHAIFUL SHAHRIN
IDRIS (dua kiri) menyantuni masyarakat cina di Pasar Lama Bagan Serai. FOTO SHAIFUL SHAHRIN
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Pengikut ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al-Kholidiah yang dibawa pulang ke Malaysia akan menjalani proses pemulihan dan sesi kaunseling oleh pihak berkuasa agama negeri-masing bagi memastikan mereka tidak lagi terpesong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata Kementerian Luar Negeri sedang menguruskan proses membawa pulang baki 27 daripada 63 pengikut ajaran itu secara beransur-ansur.

Menurutnya pihaknya turut mendapatkan kerjasama baik dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membantu pembiayaan kos penerbangan pulang mereka.

"Kita jangkakan semua baki kumpulan itu akan dibawa balik sebelum hujung tahun ini berdasarkan kekosongan penerbangan. Semua urusan dibuat sepenuhnya oleh Kementerian Luar Negeri dengan kerjasama JAKIM.

"Bagi pengikut ajaran itu yang sudah dibawa pulang, mereka akan diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara dan turut menjalani sesi kaunseling dan pemulihan oleh majlis agama Islam negeri masing-masing," katanya dalam program turun padang menyantuni masyarakat Cina di Pasar Lama Bagan Serai di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan semua 63 jemaah terbabit dibawa ke Madinah oleh kumpulan Tarekat Naqsyabandiah Al-Kholidiah untuk mengerjakan umrah pada Mac lalu namun mereka hanya berada di Madinah dan tidak pernah dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah itu.

Malah pemimpin kumpulan itu, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad dikatakan telah menyeleweng dari hukum syarak termasuk mempercayai akan berlaku kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lalu.

Beliau juga turut dikatakan melakukan tiga kali sujud ketika solat dengan sujud terakhir dia dikatakan mengucup sejadah.

Terdahulu media melaporkan seramai 36 orang daripada keseluruhan 63 jemaah umrah warga Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu akhirnya berjaya dibawa pulang ke tanah air.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Luar Negeri menerusi kenyataan akhbar yang turut memaklumkan bahawa baki 27 orang lagi akan dibawa pulang melalui penerbangan yang seterusnya.

Sementara itu Idris turut menasihatkan kepada semua calon dan penyokong parti yang bertanding supaya menghormati sensitiviti agama semua kaum di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 12:22 PM