Sebahagian jemaah Aolia menunaikan solat sunat Aidilfitri pagi ini. - FOTO Agensi
Sebahagian jemaah Aolia menunaikan solat sunat Aidilfitri pagi ini. - FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Segelintir umat Islam di Indonesia sudah meraikan 1 Syawal hari ini.

Menurut laporan Kompas, jemaah Tarekat Naqsabandiyah di Padang, Sumatera Barat, dan jemaah Masjid Aolia di Yogyakarta sudah melaksanakan solat sunat Aidilfitri hari ini.

Imam Surau Baru Kota Padang dikenali sebagai Zahar berkata, jemaah berkenaan mula melaungkan takbir raya pada Rabu.

"Pagi ini kita melaksanakan solat Aidilfitri selepas berpuasa selama 30 hari," katanya.

Jemaah berkenaan dikatakan membuat pengiraan berdasarkan cara hisab Munjid, yang menyambut lebaran lebih awal dari keputusan kumpulan pemerhati kerajaan, sama seperti tahun sebelumnya.

Selain jemaah Tarekat Naqsabandiyah, jemaah Masjid Aolia turut meraikan 1 Syawal hari ini di Yogyakarta.

Imam Jemaah Masjid Aolia Ibnu Hajar, Sholeh Pranolo atau dipanggil Mbah Benu berkata, lebaran tahun ini disambut lebih awal kerana keyakinan dan perjalanan spiritual.

"Sebenarnya ini adalah kerana keyakinan. Di Indonesia kita boleh beraya awal atau puasa awal. Tiada masalah.

"Yang penting jaga kesatuan dan jangan menyalahkan yang lain," katanya.

Dilaporkan jemaah Aolia turut berada di Sulawesi, Kalimantan, Sumatera, India, Filipina, hingga China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 4:37 PM