Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Dewan Pemuda PAS mahu pucuk pimpinan parti itu mengambil langkah yang lebih berani termasuk merampas kembali kerusi yang dipinjamkan kepada PKR dan DAP untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketuanya Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pihaknya bersedia untuk menjadi tulang belakang parti bagi menjayakan hasrat itu.

Katanya, langkah berkenaan juga sebagai 'mengajar' rakan sekutu mereka yang banyak menambah 'duka' parti itu.

"Cukuplah pengalaman lalu menjadi pengajaran di mana tenaga ahli kita yang ikhlas dan patuh pada arahan pimpinan dipergunakan oleh rakan-rakan (pembangkang) demi mencapai kemenangan tetapi kemudian ditinggalkan begitu sahaja.

"Justeru, sekiranya pimpinan parti mengambil langkah berani untuk bertanding di kerusi yang selama ini dipinjamkan kepada PKR dan DAP dalam PRU lalu, kami Pemuda PAS berikrar dan berjanji akan mengambil seribu langkah bagi memastikan kemenangan berpihak pada PAS, InsyaAllah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-57 di sini, petang ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan Tantawi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 4:45 PM
PERWAKILAN dan pemerhati hadir pada Persidangan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-57 sempena Muktamar PAS Kali Ke-62. FOTO Abdullah Yusof
PERWAKILAN dan pemerhati hadir pada Persidangan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-57 sempena Muktamar PAS Kali Ke-62. FOTO Abdullah Yusof