PEMAIN negara tiba di KLIA malam tadi.
PEMAIN negara tiba di KLIA malam tadi.
Ferzalfie Fauzi

Sepang: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen mengambil sikap tenang dan terbuka walaupun ada pihak yang mengkritiknya tidak bijak menggunakan kesempatan ketika Malaysia kalah 2-3 kepada Denmark pada separuh akhir Piala Thomas, Jumaat lalu.

Menurutnya, tindakan menuding jari mencari kesalahan berikutan kekalahan kepada Denmark seharusnya tidak berlaku memandangkan lawan berada dalam kelas tersendiri.

“Saya rasa menuding jari itu satu perkataan yang agak keras,” katanya sebaik tiba bersama skuad Piala Thomas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Melalui laporan Arena Metro Ahad lalu, bekas pemain beregu lelaki negara Datuk Seri Jalani Sidek berpendapat Frost tidak bijak menggunakan kelebihan berada dalam skuad negara ketika bertemu negara kelahirannya sendiri.

“Saya tahu perkataan (menuding jari) itu sering digunakan di Malaysia tapi saya sama sekali tidak akan menggunakannya.

“Kalau dilihat, Denmark mempunyai pemain yang berada di ranking keempat, kelima, ke-13 dalam perseorangan lelaki dan mereka juga mempunyai dua beregu yang bagus.

“Itulah sebab kenapa mereka menjadi pilihan kedua kejohanan dan kita pula keenam. Denmark pasukan yang lebih kuat dan kita tidak perlu terlalu bersedih mengenainya,” kata bekas pemain perseorangan Denmark itu.

Skuad Piala Thomas yang diketuai jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei terkandas di separuh akhir sekali gus gagal mengulangi pencapaian dua tahun lalu di New Delhi apabila berjaya mara ke akhir sebelum tumpas 2-3 kepada Jepun.

Kali terakhir Malaysia muncul juara pada 1992 mengalahkan Indonesia 3-2, yang mana Jalani turut berada dalam skuad itu bergandingan dengan abangnya Datuk Razif Sidek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 8:19 AM