AARON dan Wooi Yik berpelukan selepas muncul juara dunia.  FOTO EPA
AARON dan Wooi Yik berpelukan selepas muncul juara dunia. FOTO EPA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tidak keterlaluan untuk kita memadamkan penantian juara Piala Thomas pula selepas ini, ujar legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek selepas pasangan beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencipta sejarah meraih trofi Kejohanan Dunia semalam.

Menurut beliau, cabaran seterusnya buat pasangan beregu lelaki nombor satu negara itu ialah cuba membantu Malaysia menamatkan penantian kejuaraan Piala Thomas bersama barisan pemain lain.

"Cuba menang (Piala Thomas), sudah lama juga penantian ini, kita mempunyai dua atau tiga pasangan beregu yang mampu memberi tentangan.

"Kita juga memerlukan perseorangan lelaki di mana saya tengok Ng Tze Yong juga sudah bermain dengan bagus. Lee Zii Jia walaupun di luar (Persatuan Badminton Malaysia) dia tetap mewakili Malaysia dan harus buktikan," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Tahun ini Malaysia berjaya layak secara merit Piala Thomas di Thailand, namun terkandas di suku akhir selepas kalah 2-3 kepada juara baru, India.

Ditanya mengenai peluang Aaron-Wooi Yik di Sukan Olimpik 2024, Jalani mengakui selepas memenangi gangsa di Tokyo, sudah sepatutnya pasangan berkenaan meraih keputusan lebih baik.

"Pada saya itu sepatutnya (menukar warna pingat). Kita juga mempunyai dua pasangan beregu yang bagus, satu lagi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

"Sayangnya di Kejohanan Dunia kali ini mereka bertemu sesama sendiri di pusingan ketiga. Dua-dua pasangan ini sangat relevan. Kita juga mempunyai satu lagi pasangan remaja yang baik (Man Wei Chong-Tee Kai Wun) mereka juga bagus dan hanya perlu kerja kerasa sahaja," katanya.

Jalani berkata, apa yang dilihatnya pada Aaron-Wooi Yik sekarang ini ialah kedua-duanya mempunyai keyakinan untuk bermain secara pasukan terutama pada aksi final ketika mengalahkan pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan semalam.

"Mereka bertahan dan menyerang dengan baik. Cuma mengambil pukulan lawan dari bawah masih kurang, perlu diperbaiki. Mereka membawa keyakinan dari latihan ke kejohanan dan menghabiskannya dengan penuh yakin.

"Mereka menterjemahkan permainan dan tidak tercari-cari rentak. Mereka harus bekerjasa kerasa kerana sekarang ini semua orang akan cuba mengalahkan mereka. Pasangan lawan sudah tentu akan berasa puas jika dapat menumpaskan juara dunia," katanya.

Pasangan negara itu berjaya menamatkan penantian 45 tahun negara dengan bergelar juara di kejohanan dunia yang berlangsung di Tokyo dan kali terakhir beregu lelaki mara ke final adalah pada edisi 2010 di Paris yang menyaksikan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tewas kepada Cai Yun-Fu Haifeng dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 3:02 PM