AARON Chia (kanan) dan  Wooi Yik ketika ditemui media selepas sesi latihan Piala Thomas  di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone hari ini. FOTO Bernama
AARON Chia (kanan) dan Wooi Yik ketika ditemui media selepas sesi latihan Piala Thomas di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone hari ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun di atas kertas dilihat skuad badminton lelaki negara memiliki kelebihan ketika berdepan Hong Kong dalam aksi pembukaan Piala Thomas 2024 esok namun ia tidak boleh dipandang ringan.

Menurut pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia menganggap pertemuan dengan Hong Kong amat penting buat skuad negara dan tidak boleh keciciran mata.

"Pasukan Hong Kong mempunyai beberapa pemain perseorangan yang baik tetapi kita tetap memiliki kelebihan berbanding mereka," kata pemain kelahiran Melaka itu.

Ujarnya, kemampuan perseorangan Hong Kong adalah seimbang namun paling penting adalah skuad negara lebih bersemangat dan tidak ada masalah mengatasi negara berkenaan.

"Perlawanan menentang Hong Kong sangat penting, kerana bakal menentukan ke mana hala tuju pasukan untuk aksi berikutnya.

"Kita sudah biasa dalam banyak acara berpasukan seperti di Sukan Asia, Sukan Sea, berpasukan campuran, yang paling penting bagi saya adalah komunikasi dalam pasukan," kata Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik.

Aaron yang berada di ranking kelima dunia, mengakui Piala Thomas menjadi satu-satunya kejohanan besar yang belum dia dan pasangannya merasai nikmat menaiki podium serta mahu menjadikannya satu kenyataan.

"Sudah tentu kali ini saya nak dapatkan pingat, tidak kiralah apa warnanya," kata Aaron yang berusia 27 tahun.

Tidak mahu memandang rendah kemampuan rakan sepasukan, Aaron juga memilih skuad negara sebagai underdog untuk berdepan Denmark pada perlawanan terakhir kumpulan D.

"Di atas kertas memang Denmark agak kuat terutamanya dalam acara perseorangan, beregu pula tidak kurang hebatnya."Tapi kita underdog, hanya perlu lakukan yang terbaik," katanya.

Selepas menentang Hong Kong esok, skuad Piala Thomas akan berdepan Algeria pada Ahad dan melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan D menentang Denmark pada Selasa.

Kali terakhir skuad negara menjulang trofi Piala Thomas adalah pada edisi 1992 dan kali terakhir beraksi di final, pada 2014.

Pada 2016 pula, pasukan negara terkandas di separuh akhir dan 2022 tersangkut di suku akhir selepas tumpas 2-3 kepada pasukan yang meraih gelaran kali pertama, India di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 2:12 PM